KUALA LUMPUR – Kao (M) Sdn. Bhd. (Kao Malaysia), anak syarikat Japan’s Kao Corporation menyasarkan pertumbuhan jualan dua digit pada tahun ini dan 2020 disokong oleh jenama penjagaan kulitnya.
Presiden Kao Malaysia, Masaki Fujiwara berkata, syarikat itu merekodkan pertumbuhan jualan sebanyak 30 peratus tahun lepas di sebalik sentimen pengguna yang lemah berikutan pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan pada 1 September 2018.
“Sehingga kini, Kao Malaysia telah mencapai pertumbuhan jualan sebanyak lima peratus bagi produk pembersih, penjagaan kulit, perlindungan ultraviolet (UV) dan pembersih alat solek.
“Kami turut menyasar untuk memperkukuh pertumbuhan jualan bersih di pasaran Malaysia terutamanya bagi produk penjagaan kulit wanita,” katanya kepada Bernama selepas melancarkan Biore UV Aqua Rich Watery Essence dengan formula Pertahanan Mikro UV di sini hari ini.
Siri Biore Aqua Rich UV yang ditambah baik itu memberikan tekstur lebih ringan bagi pengunaan harian serta perlindungan UV yang maksimum sehingga ke mikroskopik kulit.
Di Malaysia, jenama Kao telah berkembang sejak sekian lama dalam industri penjagaan kecantikan, penjagaan rumah dan kebersihan. Syarikat itu memasarkan pelbagai produk dan jenama seperti Curel, Biore, Liese, Attack, Magiclean, Laurier, Merries dan MegRhythm.
Fujiwara berkata, Kao Malaysia akan memberi tumpuan untuk menawarkan produk bernilai tambah tinggi kepada pengguna untuk meningkatkan jualannya pada masa depan.
“Bagi Kao, kami sentiasa berusaha ke arah inovasi untuk menghasilkan produk yang lebih baik dan akan terus melaksanakannya khususnya untuk wanita bukan sahaja di Jepun dan Malaysia, malah di seluruh dunia,” katanya. – BERNAMA











