PARIS – Juara Eropah, Belanda memiliki empat pemain tonggak yang perlu diberikan perhatian oleh Sweden apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam separuh akhir Piala Dunia Wanita, Khamis ini.
Tonggak tersebut adalah pemain yang bertanggungjawab membantu skuad wanita Arsenal kembali berada di puncak dalam saingan liga domestik di England, musim ini.
Pemain yang dimaksudkan adalah penyerang, Vivianne Miedema; pemain tengah, Danielle van de Donk; bek tengah, Dominique Bloodworth dan penjaga gol, Sari Van Veenendaal yang dianggap menjadi kunci kekuatan Belanda.
“Kami sudah bermain bersama selama dua tahun (di Arsenal). Jadi kami sudah tahu antara satu sama lain. Saya hanya perlu mencari Dominique yang sudah faham di mana saya akan menghantar bola kepadanya.
“Keadaan yang sama juga dengan DVD (Van de Donk), Memang kami sudah ada persefahaman. Ia banyak membantu pasukan kami dan saya gembira kami mempunyai naluri yang kuat seperti itu,” kata Miedema yang menjaringkan satu gol ketika menewaskan Itali 2-0 pada suku akhir.
Pada Liga Super England, Miedema berjaya menjaringkan 31 gol dalam 28 perlawanan musim ini untuk membantu Arsenal muncul juara liga buat kali pertama dalam tempoh tujuh tahun.
Di peringkat antarabangsa pula, jaringan Miedema, 22, ketika menentang Itali adalah gol yang ke-61 daripada 80 penampilannya bersama Belanda setakat ini.
Kunci kekuatan Belanda itu turut diakui Bloodworth dan Van de Donk yang tidak menafikan langsung pengalaman bermain bersama serta hubungan rapat di dalam dan luar padang adalah faktor utama Belanda mampu menyinar sejak dua tahun lalu. – AFP











