KOTA KINABALU – Usahawan makanan di Sabah boleh memperluaskan pasaran produk mereka melalui kerjasama dengan syarikat tempatan, Fidelity Team Sdn. Bhd. (Fidelity Team).
Syarikat tersebut membantu memasarkan produk yang dihasilkan oleh usahawan di negeri ini.
Pengurus Fidelity Team cawangan Kota Kinabalu, Sharon Marcus berkata, terdapat 40 usahawan tempatan yang menjalin kerjasama dengan pihaknya dan jumlah itu dijangka meningkat.
Katanya, usahawan kecil yang belum memiliki kedai sendiri turut diberi ruang untuk menjual produk mereka di kedai milik syarikat, Agromart 333.
“Kami juga memasarkan produk yang dihasilkan usahawan tempatan secara dalam talian untuk membantu mereka mendapat lebih ramai pelanggan dan meningkatkan jualan produk,” katanya kepada Bernama hari ini.
Sharon berkata, Agromart 333 setakat ini mempunyai satu cawangan di sini dan akan membuka satu lagi cawangan di Kinarut, Papar dalam masa terdekat. – BERNAMA











