Lima keluarga ceria mengenakan busana istimewa pada hari raya yang lalu. Kesemua pakaian itu dimenangi menerusi penyertaan mereka dalam kempen ‘Gaya Raya Bersama TOP’. Jenama pencuci pakaian itu menaja hadiah kemenangan iaitu baju raya daripada koleksi pereka fesyen terkemuka, Jovian Mandagie. Nilai keseluruhan hadiah termasuk rangkaian produk TOP adalah RM30,000.
Kesemua pemenang telah diraikan dalam acara rumah terbuka ‘Gaya Raya Bersama TOP’ yang dihadiri pasukan TOP bersama Jovian, artis popular Ernie Zakri dan Ismail Izzani. Dalam majlis itu juga, seramai 31 kanak-kanak dari Rumah Bakti Nur Syaheera turut diraikan. Kesemua penghuni rumah itu menerima sumbangan baju kurung dan baju Melayu daripada Jovian Mandagie bernilai RM10,000.
Pengurus Pemasaran (Divisyen Penjagaan Fabrik), Southern Lion Sdn. Bhd., Ling Ai Li berkata, semakin ramai rakyat Malaysia beralih kepada TOP sebagai pencuci pilihan utama mereka sama ada dalam bentuk serbuk, cecair mahupun pencuci dengan konsentrasi ultra.
“Kami sentiasa melihat peningkatan ketara jualan sebelum musim perayaan kerana rakyat Malaysia suka mencuci dan ‘menyegarkan’ semula pakaian mereka sebelum hari raya. Malah ia turut digunakan untuk mencuci busana rekaan pereka terkemuka.
“Jadi, ini merupakan waktu terbaik bagi kami untuk memberi ganjaran kepada pelanggan di atas kesetiaan dan sokongan yang diberikan bagi menjadikan TOP sebagai keperluan penting cucian,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam majlis itu, pemenang dan keluarga mereka kelihatan hebat mengenakan koleksi Jovian. Mereka tidak kekok berada di pentas peragaan untuk berkongsi penampilan pakaian ‘Gaya Raya Bersama TOP’ daripada Jovian.
Ai Li menambah, pihaknya memilih untuk menjalin kerjasama dengan Jovian kerana rekaan beliau sentiasa menarik perhatian rakyat Malaysia yang bergaya.
“Dalam masa sama. Jovian mengekalkan kehalusan jahitan baju raya tradisional. Kami juga berbangga kerana pada tahun ini syarikat meneruskan kempen ‘Gaya Raya Bersama TOP’ sebagai satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat dengan menghadiahkan kanak-kanak dari Rumah Bakti Nur Syaheera pakaian rekaan Jovian,” katanya.
Sementara itu Jovian berkata, kempen ‘Gaya Raya Bersama TOP’ menjadikan koleksi sedia dipakai beliau lebih mudah digayakan ramai rakyat Malaysia.
Menurutnya, terlalu ramai individu ‘tidak berani’ mengenakan pakaian ilham pereka fesyen ternama kerana beranggapan harganya mahal dan memerlukan jagaan khas tanpa mencuba pakaian tersebut terlebih dahulu.
“Koleksi sedia dipakai kami amat bergaya, diperbuat daripada fabrik berkualiti dengan potongan rapi serta jahitan yang halus. Koleksi ini boleh dipakai lama dan mampu mengekalkan bentuk dan keadaan fabrik yang masih elok,”katanya.
Seorang pemenang, Amira Nadiah Abdullah berkata, peraduan ‘Gaya Raya Bersama TOP’ merupakan satu kempen yang dinanti-nantikan seisi keluarganya ekoran hadiah eksklusif yang ditawarkan.
“Kami adalah pengguna setia TOP dan ingin memenangi peraduan ini kerana mahukan koleksi pereka yang eksklusif disediakan kepada pemenang. “Alhamdulillah, kami menang dan sangat gembira dengan pakaian rekaan Jovian serta produk TOP yang diterima,” kata Amira.
Dalam pada itu, kanak-kanak dari Rumah Bakti Nur Syaheera teruja dengan pakaian baharu yang diterima mereka pada musim perayaan ini.
“Sumbangan ini tentunya sesuatu yang tidak diduga dan telah memberikan kegembiraan kepada anak-anak ini. Tidak dinafikan ada kalanya mereka menerima sumbangan baju raya baharu daripada pihak lain, tetapi tidak pernah melibatkan hasil pereka fesyen terkemuka seperti Jovian,” kata Pentadbir Rumah Bakti Nur Syaheera, Suzana Jafar.
Aina Syahirah, 16, dari Rumah Bakti Nur Syaheera, tidak berhenti menguntumkan senyuman sepanjang majlis sambutan berkenaan.
“Saya suka pakaian ini kerana cantik dan istimewa. Saya tidak pernah memiliki sesuatu yang seindah ini,” ujarnya.











