KUALA LUMPUR – Raja-Raja Melayu hari ini bertitah menasihati seluruh rakyat Malaysia menghentikan segera penyebaran berita fitnah dan tidak ditentukan kesahihannya kerana dikhuatiri boleh menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan negara.
Raja-Raja Melayu memandang serius gejala fitnah-memfitnah yang berlaku dengan berleluasa dalam kalangan masyarakat sejak kebelakangan ini, demikian menurut kenyataan Majlis Raja-Raja yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.
“Gejala fitnah-memfitnah serta pengkhianatan dan perasaan benci yang dipamerkan secara terbuka seolah-olah telah menjadi satu budaya dalam kalangan masyarakat kita ketika ini.
“Adalah amat dibimbangi bahawa gejala fitnah yang membawa perbalahan ini akan menjadi bertambah buruk sekiranya tidak dibendung dan dikawal sehingga boleh membangkitkan keresahan di kalangan masyarakat,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan tersebut menyatakan bahawa perjumpaan Raja-Raja Melayu dalam mesyuarat pre-council Majlis Raja-Raja hari ini antara lain membincangkan secara mendalam isu berkaitan memelihara perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan hidup rakyat pelbagai kaum dalam negara. – Bernama











