KUALA LUMPUR – Kadar antara bank jangka pendek kekal kukuh hari ini susulan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.
Lebihan dalam sistem konvensional susut kepada RM20.01 bilion daripada RM25.38 bilion pagi ini manakala dalam sistem Islam angkanya berkurangan kepada RM12.43 bilion daripada RM16.18 bilion.
Awal hari ini, BNM melaksanakan enam tender merangkumi tiga pasaran wang konvensional dan satu tender Qard, dua tender Program Murabahah Komoditi.
Bank pusat juga mengeluarkan tender Bil Antara Bank Bank Negara Islam (BNIBI) bernilai RM500 juta bagi 91 hari.
Pada pukul 4 petang, BNM menjalankan tender pasaran wang konvensional RM20 bilion dan tender pasaran wang Murabahah RM11.3 bilion, kedua-duanya bagi wang sehari.
Purata kadar faedah semalaman Islam berada pada 2.96 peratus manakala kadar satu, dua dan tiga minggu, masing-masing ditambat pada 3.03 peratus, 3.07 peratus dan 3.12 peratus. – BERNAMA











