KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) meminta supaya siasatan dijalankan terhadap dakwaan salah guna kuasa melibatkan Kementerian Sumber Manusia.
Ketua wira Putra, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, terdapat memo yang dikeluarkan kementerian tersebut berkaitan penajaan penuh kursus pendidikan kepada kaum India.
“Memo tersebut memperlihatkan diskriminasi kaum dan bertentangan dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
“Tidak ada dana khas yang boleh dikeluarkan selain kepada bangsa Melayu dan memo tersebut adalah salah guna kuasa dari kementerian terhadap dana awam,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Balai Polis Putra, di sini hari ini.
Menurut Nasrul Ali, pihaknya tidak menafikan hak untuk mendapat pendidikan tetapi jika melibatkan salah guna dana awam, perkara tersebut perlu disiasat.
Jelasnya, terdapat juga laporan yang mengatakan dana tersebut telah diberikan sejak pemerintahan kerajaan sebelum ini.
“Tidak kisah jika perkara ini pernah dilakukan kerajaan sebelum ini atau tidak kerana jika perkara bertentangan ini berlaku, maka siasatan perlu dilakukan,” ujarnya.
Terdahulu, Putra telah memperoleh salinan memo daripada pihak (Ketua Pengarah JTM) Datuk (Muhd. Khair Razman Mohamed Annuar) yang dialamatkan kepada semua pengarah Institut Latihan JTM (ILJTM) memaklumkan bahawa bayaran pendaftaran bagi kursus sepenuh masa berdasarkan Program Inisiatif Meningkatkan Enrolmen Pelajar Belia India (PSMB-ILJTM) tahun 2019 akan ditaja sepenuhnya oleh pihak PSMB. – UTUSAN ONLINE











