KUALA LUMPUR 2 Julai – Beberapa pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di peringkat bahagian mendesak supaya tiga jawatan tertinggi parti tersebut tidak dipertandingkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) 20 Julai ini.
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, tiga jawatan itu adalah Pengerusi, Presiden dan Timbalan Presiden parti.
Kata Menteri Besar Kedah itu, Bersatu masih mengamalkan format satu ahli, satu undi untuk pemilihan di peringkat cawangan dan bahagian.
“Ini kerana terdapat suara akar umbi yang mahu jawatan Pengerusi mengekalkan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Mereka masih mahukan jawatan itu dikekalkan kepada penyandangnya,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata, beliau akan mempertahankan jawatannya dalam Bersatu pada pemilihan tersebut.
“Pengerusi Bersatu, Dr. Mahathir juga akan mempertahankan jawatannya. Setakat ini tiada siapa yang nak lawan beliau,” katanya. – UTUSAN ONLINE











