PUTRAJAYA 2 Julai – Pensyarah Sukan Universiti Malaya (UM), Prof Madya. Dr. Wirdati Mohd. Radzi dimuktamadkan sebagai Pesuruhjaya Sukan yang baharu.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau merupakan individu terbaik bagi mengisi kekosongan tersebut selepas persaraan penyandang sebelum ini, Datuk Zaiton Othman.
Katanya, jawatankuasa pemilih yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dr. Waitchalla R.R.V Suppiah telah melakukan proses pemilihan bagi menentukan calon yang layak.
“Beliau adalah daripada UM, memang ada latar belakang sukan, bukan sahaja pengalaman dalam persatuan sukan tetapi juga undang-undang sukan.
“Saya berharap beliau dapat melakukan pembaharuan dalam sukan negara dan meneruskan legasi Zaiton yang sememangnya telah meninggalkan banyak jasa dalam arena sukan tanah air,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Ulang Pertama Pentadbiran Kerajaan Baharu peringkat Kementerian Belia dan Sukan di sini hari ini.
Menurut Syed Saddiq, beliau telah menandatangani surat pelantikan dan kini hanya menunggu UM untuk melepaskan perkhidmatan Wirdati dan tindakan lanjut oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Jawatan Pesuruhjaya Sukan kosong selepas persaraan Zaiton pada Mac lalu dan sekali gus menjadikan kemelut yang melanda Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menemui jalan buntu. – UTUSAN ONLINE











