KUALA LUMPUR – Hong Leong Bank Bhd. (HLB) memperuntukkan antara 60 peratus dan 70 peratus daripada perbelanjaan modal berjumlah RM220 juta pada tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2020, khusus bagi inisiatif dan peningkatan keupayaan digital.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Domenic Fuda berkata, syarikat mendapati penerimagunaan platform digital dalam kalangan pelanggan semakin meningkat.
Beliau berkata ini seiring dengan tumpuan berterusan ke arah memacu pendekatan tanpa tunai negara dengan menyediakan kemudahan sebagai nilai teras dalam lingkungan keseluruhan penyelesaian ekosistem tanpa tunai diterajui digital bank ini untuk pengguna dan perniagaan.
“Kami mencatatkan kemajuan ketara tahun ke tahun bagi pertumbuhan transaksi digital. Pada tahun kewangan kewangan 2018, kami merekodkan kira-kira 20 peratus hingga 25 peratus peningkatan jumlah pengguna yang memanfaatkan platform digital dan mudah alih untuk transaksi perbankan.
“Bagi tahun ini, kami mungkin menyasarkan angka yang hampir sama,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Hari Digital bank itu di sini, hari ini.
Fuda berkata HLB telah menumpukan penyampaian penyelesaian yang memenuhi keperluan serta menangani masalah dalam kehidupan pelanggan, pengguna dan pemilik perniagaan menerusi transformasi dan inovasi digital.
“Tumpuan untuk memberikan penyelesaian yang mudah dan lancar kepada pelanggan telah menyaksikan penggunaan Internet dan perbankan mudah alih serta penyelesaian digital lain, memacu pertumbuhan ketara dalam transaksi tanpa tunai di seluruh pangkalan pelanggan HLB,” katanya.
Terdahulu, semasa sesi media bertemakan, ‘Cash Bye-Bye! No Cash No Problem: Cashless is Convenience’ sempena Hari Digital, Fuda berkata pengguna kini telah membuat keputusan atas kesedaran mengenai kaedah mereka gunakan untuk transaksi, termasuk, apabila menggunakan tunai dalam transaksi harian.
Beliau berkata HLB sedang menjalinkan kerjasama rintis dengan WeEat, program mini WeChat untuk penyelesaian makanan dan minuman di Malaysia, dengan pelanggan boleh menempah, membayar dan menikmati makanan tanpa perlu berbaris panjang untuk memesan dan membayar.
“Vendor boleh mendapat manfaat daripada data dan kaedah analisis yang boleh digunakan untuk menganalisis prestasi perniagaan mereka serta mengenal pasti produk terlaris untuk memberi ganjaran kepada pelanggan setia.
“Buat masa ini, aplikasi WeEa dilancarkan bagi Pusat Beli-belah Damansara City (DC), Bandar Damansara di sini, dengan beberapa vendor terpilih. Sekiranya usaha rintis ini terbukti berjaya, kami merancang untuk memperkenalkannya kepada lebih banyak vendor di seluruh negara,” katanya. – BERNAMA











