Cukai minuman bergula tidak relevan untuk PKS - Utusan Malaysia

Cukai minuman bergula tidak relevan untuk PKS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 2 Julai – Kerajaan diminta mengkaji semula mekanisme cukai untuk minuman bergula (SSB) yang berkuat kuasa semalam ekoran pelaksanaannya didakwa tidak sistematik selain tidak relevan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Seorang pengilang minuman herba, Fazila Yusop, 37, berkata, sepanjang 20 tahun berniaga, pihaknya menerima apa sahaja cukai dikenakan oleh kerajaan seperti cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta cukai jualan dan perkhidmatan (SST) tetapi mengakui agak terkesan dengan pelaksanaan SSB.

“Pertamanya sebelum hendak mengeluarkan produk daripada gudang, kita sudah kena cukai itu dahulu. Dia punya tempat, kami kena pergi dan buat semua proses itu dahulu, jadi kekangan masa agak terkesan pada kami.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Satu lagi dari segi harga, apabila sudah ada dua cukai (SST dan SSB), keuntungan yang kami dapat itu agak sedikit. Kalau kami hendak letak pada harga tinggi, kami takut pembeli pula tidak membeli produk kami, jadi itulah masalah kami dalam kalangan usahawan PKS ini,” katanya ketika ditemui di Halal Park Tambun di sini hari ini.

Sehubungan itu, berbanding pelaksanaan dua peringkat cukai, Fazila mencadangkan supaya kedua-duanya dapat disatukan dengan kadar SST dinaikkan sedikit.

“Setakat ini saya sudah memberhentikan pengeluaran minuman bergula disebabkan oleh SSB kerana saya melihat kesannya memang banyak terhadap syarikat melainkan masih meneruskan minuman jenis tiga dalam satu secara paket,” katanya.

Sementara itu, seorang usahawan minuman jus belimbing buluh, Mansor Kandati, 64, pula berkata, setelah mendengar taklimat disampaikan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), dia mengambil keputusan untuk memberhentikan pengeluaran produknya yang telah diusahakan sejak tahun 2009.

“Belimbing buluh ini masam, saya kena bubuh gula, baru orang muda boleh terima. Jadi, saya jual pada harga RM2 dari tahun 2009 hingga 2019 walaupun harga gula telah naik beberapa kali, saya tidak naikkan harga.

“Namun, apabila sudah dibuat kira-kira, kalau diteruskan juga dengan pengeluaran produk dengan pengenaan cukai SSB, kami akan mengalami kerugian. Jadi, kami terpaksa beralih kepada produk lain iaitu sambal hitam belimbing buluh,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini