KAJANG 1 JULAI – Sebuah kumpulan sukarelawan, Jari Moxx dan Sibermedia Sdn. Bhd. (Sibermedia) baru-baru ini telah bergabung menjayakan program khidmat masyarakat dan sambutan Aidilfitri di Pusat Jagaan Kanak-Kanak Yatim/Miskin Rukaiyah, di sini.
Menurut Pengasas Jari Moxx, Nadzarul Amir Zainal Azam, 40, program tersebut diadakan bertujuan untuk menceriakan 24 penghuni pusat jagaan tersebut.

Katanya, inisiatif menyantuni rumah-rumah anak yatim telah dilakukan sejak awal tahun lagi dan mereka menyasarkan 12 lokasi sepanjang tahun ini dengan menyalurkan bantuan keperluan asas kepada rumah-rumah berkenaan.
Nadzarul Amir menambah projek berkenaan tidak hanya tertumpu sekitar Lembah Klang malah turut melibatkan negeri-negeri lain seperti Negeri Sembilan dan Terengganu.
“Konsep edisi kali ke-7 yang dilaksanakan di rumah ini berlainan sedikit apabila mereka (anak-anak yatim dan miskin) diraikan dalam bulan Syawal.
“Kami pastinya gembira dapat meraikan bulan yang mulia ini dengan mengadakan sedikit jamuan hari raya bersama-sama mereka yang memerlukan.
“Jika sebelum ini mereka hanya menerima bantuan berbentuk barangan keperluan tetapi kali ini kami turut menjamu mereka dengan juadah hari raya,” ujarnya.
Program yang bermula pada pukul 2 petang itu turut melibatkan lebih 20 sukarelawan termasuk pelakon, Keith Foo.
Sementara itu, Sibermedia yang diwakili Pengarah Eksekutifnya, Ainol Amriz Ismail, turut menyumbangkan bahan bacaan kepada rumah tersebut.
Merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat tersebut, sumbangan tersebut diharapkan dapat memberi manfaat kepada penghuni-penghuni rumah tersebut di samping dapat meningkatkan apresiasi masyarakat terhadap buku dan membudayakan amalan membaca.
“Hampir 100 naskhah buku yang pelbagai judul disediakan seperti buku cerita bergambar bersaiz besar, novel bagi remaja manakala golongan dewasa buku-buku ilmiah.
“Program ini yang juga mendapat kerjasama dari Tintarona Sdn. Bhd. merupakan permulaan bagi kami (Sibermedia) untuk terus terlibat dengan program-program kemasyarakatan selepas ini,” katanya.
Buku-buku tersebut disediakan sebagai bahan bacaan kepada penghuni rumah berkenaan dan satu sudut Bacaan Sibermedia telah diwujudkan.
Selain beramah mesra, penghuni rumah tersebut turut dihiburkan dengan pelbagai aktiviti dan acara yang menyeronokkan yang disusun khas. – UTUSAN ONLINE











