PORT DICKSON – Seorang lelaki berusia 58 tahun maut dalam kereta akibat mengalami serangan jantung semasa dalam perjalanan dari arah Rembau menghala ke Pengkalan Kempas Linggi dekat sini kira-kira pukul 9.45 malam semalam.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, semasa kejadian mangsa, Lai Chee Kee dalam perjalanan ke rumahnya menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Jenis Perodua Alza.
“Anak saudara mangsa yang turut menaiki kenderaan itu memaklumkan mangsa tiba-tiba sukar bernafas dan sakit pada bahagian dada sebelum memberhentikan kenderaan di bahu jalan di laluan tersebut.
“Siasatan awal pihak polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati kematian mangsa tidak melibatkan sebarang unsur jenayah,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Aidi Sham berkata, kematian Chee Khee disahkan oleh Pegawai Kesihatan Kesihatan Linggi dan mayat mangsa di hantar ke Hospital Port Dickson bagi menjalani bedah siasat. – K! ONLINE











