KUALA LUMPUR – Utusan Melayu (M) Bhd. (UMMB) menjual unit apartment kedua, Belezza Permata Hijau di Jakarta, Indonesia berkeluasan 277,97 meter persegi kepada pembeli individu bernilai 4.65 bilion rupiah (RM1.35 juta).
Menurut UMMB, hasil daripada cadangan penjualan akan digunakan sebahagiannya untuk membiayai bayaran Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) dan keperluan modal kerja kumpulan Utusan.
Katanya, pada 28 Jun lalu, UMMB menjual satu lagi unit apartment di bangunan sama, berkeluasan 254 meter persegi sebanyak RM1.45 juta, dengan jangkaan keuntungan bersih sebanyak RM179,928.
“Penjualan kedua dijangka menyumbang keuntungan bersih sebanyak RM84,011 dan tidak akan mempunyai sebarang kesan material terhadap aset bersih dan nisbah hutang kepada ekuiti Utusan.
“Cadangan pelupusan itu memberi peluang kepada UMMB untuk membuka nilai hartanah itu serta-merta,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.
Dalam satu kenyataan berasingan, UMMB berkata, kumpulan masih sedang merumuskan rancangan penyusunan dan buat masa ini, belum ada sebarang perkembangan penting untuk diumumkan. – UTUSAN ONLINE











