PASIR GUDANG – Satu memorandum mendapatkan peruntukan mewujudkan stesen pemantau bahan-bahan cemar udara secara tetap akan dibentangkan kepada Kabinet pada 5 Julai ini bertujuan mengesan pencemaran udara di daerah ini.
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, tujuannya untuk mendapakan peruntukan membina stesen tersebut yang berfungsi mengesan pencemaran udara dengan cepat dan berkesan.
“Stesen pemantauan itu adalah lebih spesifik bagi memantau isu pencemaran udara di kawasan berkenaan. Fungsinya memantau dan membuat bacaan dalam isu pencemaran udara dan kita harap dapat wujudkannya secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini sebentar tadi.
Jelas Bee Yin, apabila stesen itu berjaya diwujudkan, orang ramai boleh membuat pemerhatian bacaan melalui dalam talian. -UTUSAN ONLINE











