KUALA LUMPUR – Tiga lelaki yang terlibat dengan sindiket pengedaran rokok seludup ditahan dalam Op Asap di sekitar Skudai, Johor semalam.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kesemua yang ditahan berusia lingkungan 22 hingga 46 tahun.
“Selain tangkapan, kita turut merampas sebanyak 3,000 karton rokok seludup jenama John, sebuah van yang disyaki dicuri dan dua buat kereta sedan.
“Nilai rampasan rokok selepas cukai ditaksirkan berjumlah RM492,000 manakala keseluruhan rampasan pula berjumlah RM607,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Acryl Sani, kesemua suspek telah ditahan reman selama tiga hari sehingga 2 Julai depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – UTUSAN ONLINE











