PETALING JAYA – Empat ahli Geng 24 yang bertindak melakukan ugutan serta menyimbah cat ke atas rumah seorang aktivis alam sekitar di Kuala Langat pada Rabu lalu, diberkas di sebuah kediaman di Damansara di sini hari ini.
Serangan berkenaan dipercayai dilakukan kumpulan kongsi gelap itu berkaitan dengan isu pengimportan skrap plastik.
Bertindak atas maklumat dan risikan sepasukan polis dari Bahagian Anti Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman menyerbu kediaman berkenaan pada pukul 9.45 pagi sebelum menahan empat suspek tempatan berusia 20 hingga 31 tahun.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, hasil soal siasat kesemua suspek mengaku terlibat dalam aktviti kongsi gelap Geng 24.
Katanya, tiga daripada suspek itu mengaku terlibat dalam kes berkenaan dan menerima upah daripada individu tertentu bagi melakukan jenayah tersebut.
“Dalam serbuan itu, pihak polis merampas sebuah kenderaan yang dipercayai digunakan ketika kejadian, sebuah pedang samurai serta sebuah telefon bimbit yang digunakan untuk merakamkan aktiviti jenayah itu.
“Turut dirampas, satu peket dadah jenis syabu.” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, hasil siasatan lanjut mendapati, setiap suspek itu mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah, dadah dan dikehendaki polis
“Kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan dan permohonan reman semua suspek itu akan dibuat esok di Banting,” ujarnya. – K! ONLINE











