KUALA TERENGGANU – UMNO Terengganu memberi bayangan ta’awun dengan Pas negeri ini cukup istimewa berbanding di negeri-negeri lain dan kerjasama itu akan dijayakan dengan beberapa formula tertentu.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Said berkata, pihaknya bersedia menjalinkan muafakat politik sebagaimana yang disarankan kepemimpinan tertinggi kedua-dua parti.
Katanya, segala rundingan di peringkat negeri akan digerakkan sejurus selepas perbincangan UMNO di peringkat Pusat selesai.
“Kita masih di peringkat awal bekerjasama dan soal pembahagian kerusi belum difikirkan lagi.
“Kita serahkan kepada jawatankuasa teknikal Pusat untuk buat formula dan kemudian kita akan berbincang dengan buat formula tertentu,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Media di sini hari ini.
Yang hadir sama, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Din Adam; barisan kepemimpinan UMNO negeri di samping Ketua Wanita UMNO, Toh Puan Zaitun Mat Amin dan Ketua Pemuda UMNO, Tengku Haphiz Tengku Putera. – UTUSAN ONLINE











