KUALA LUMPUR – Pendigitalan serta komitmen berterusan kerajaan dalam membangunkan perbankan Islam akan menyokong pertumbuhan sektor itu di Malaysia dan Indonesia, menurut Moody’s Investors Service.
Naib presiden dan Penganalisis Kanannya, Simon Chen berkata, bank-bank Islam di Malaysia dan Indonesia akan meningkatkan pelaburan mereka dalam digital yang mana ia akan membantu industri berkembang pada kos yang lebih rendah.
Menurut beliau, secara umumnya pendigitalan membantu bank mengurangkan perbelanjaan operasi dengan menyelaras dan mengautomasikan proses dalaman selain menurunkan kos untuk mendapatkan dan berkhidmat untuk pelanggan.
“Manfaat lain pendigitalan khususnya untuk perbankan Islam adalah ia membantu meningkatkan pendapatan walaupun kehadiran mereka di pasaran tidak terlalu besar.
“Kami percaya kerajaan Malaysia dan Indonesia akan terus komited untuk membangunkan perbankan Islam dengan kedua-dua negara berada pada kedudukan yang baik untuk memenuhi sasaran pertumbuhan mereka dalam sektor ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Chen, pengawal selia di kedua-dua negara itu bukan sahaja menggalakkan pertumbuhan, malah turut menangani risiko baharu berkaitan nilai-nilai tadbir urus alam sekitar, sosial dan korporat (ESG).
Katanya, pada masa sama juga mereka tetap meneruskan pertumbuhan yang positif dalam kredit.
“Malaysia telah menerajui rantau ASEAN dalam usaha pengawalseliaan untuk menyokong perbankan Islam. Negara ini memperkenalkan rangka kerja untuk menggabungkan nilai-nilai ESG dalam operasi dan urus tadbir risiko perbankan Islam.
“Moody’s menjangkakan pembangunan ini akan mewujudkan peluang pertumbuhan baharu bagi bank yang mengikuti prinsip syariah,” ujarnya.
Sementara itu, Chen berkata, inisiatif kerajaan Indonesia baru-baru ini untuk meningkatkan ekonomi halal dan meningkatkan kesedaran mengenai perkhidmatan kewangan Islam di negara berkenaan akan membantu sektor perbankan Islam berkembang. – UTUSAN ONLINE











