PASIR GUDANG – Rakyat akan menghukum kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekiranya gagal dalam menguruskan dan menangani isu pencemaran di daerah ini yang sudah berlarutan sekian lama.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, bagaimanapun sekiranya masalah pencemaran dapat ditangani dengan baik dan adil rakyat akan melihat serta menilainya.
“Saya beritahu kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan rakyat di Pasir Gudang akan menilai (keupayaan menyelesaikan isu pencemaran) dan jika tidak selesai rakyat akan menghukum (kerajaan PH).”
“Rakyat tahu puncanya bukan kerana kerajaan sekarang tetapi kita kena cuba sedaya-upaya mendapatkan keyakinan rakyat dengan memulihkan keadaan. Kalau kita terus ding dong begitu (berdolak-dalik dan memberi pelbagai alasan) macam mana,” soalnya.
Beliau yang juga Pengerusi PKR Johor berkata demikian ketika ditemui Utusan Online selepas meninjau sesi persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nusa Damai di sini sebentar tadi. -UTUSAN ONLINE











