KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Perhimpunan Aman (Pindaan) 2019 antaranya bagi meniadakan kesalahan berkaitan protes jalanan dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.
Mengikut RUU dibentang Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman itu, pindaan berkenaan melibatkan Seksyen 3, 4 dan 21 Akta Perhimpunan Aman 2012.
Ia berikutan perubahan dasar kerajaan yang berpandangan hak berhimpun secara aman dan tanpa senjata boleh termasuk dalam hak untuk menganjur atau menyertai suatu protes jalanan selagi tidak membawa ancaman dan memberi kesan terhadap keselamatan serta ketenteraman awam.
Menurut RUU itu, sekiranya suatu protes jalanan menyebabkan kacau ganggu, perbuatan ganas atau perlakuan jenayah, ia boleh ditangani mengikut undang-undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah.
RUU itu juga bertujuan meminda Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman untuk memendekkan tempoh pemberitahuan bagi suatu perhimpunan dari 10 hari kepada tujuh hari sebelum tarikh perhimpunan. – Bernama











