KOTA BHARU – Pergerakan Puteri UMNO negeri ini memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi serta menghormati keputusan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk kembali menjalankan tugasnya sebagai presiden parti itu.
Ketuanya, Marzuani Ardila Ariffin berkata, pihaknya berpegang teguh dan yakin dengan prinsip serta peraturan parti yang memberikan mandat kepada akar umbi untuk memilih kepemimpinan parti khususnya presiden.
“Kami percaya, segala perancangan untuk memperkukuhkan parti telah dirangka sebaik mungkin oleh pemimpin yang dipilih.
“Kita juga sedar, Presiden UMNO telah dikenakan pelbagai pertuduhan yang tidak masuk akal dan ini membuatkan rakyat semakin muak dengan sandiwara kerajaan PH yang jelas gagal untuk membawa negara kita ke arah yang lebih baik. Sebaliknya mereka hanya fokus untuk menjatuhkan pemimpin-pemimpin UMNO melalui fitnah dan tuduhan jahat,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.
Semalam, Ahmad Zahid mengumumkan akan kembali aktif memimpin UMNO selepas bercuti selama enam bulan sebelum ini.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu membuat pengumuman itu pada satu Majlis Hari Raya Aidilfitri di Sungai Sumum, Bagan Datok, Perak sempena setahun beliau dipilih sebagai presiden parti itu.
Marzuani Adila berkata, pihaknya berharap Ahmad Zahid terus tabah dan kuat untuk memimpin parti dengan sebaik mungkin.
“Insya Allah semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan dan memberkati perjuangan kita ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE










