Mujahid tak sensitif dengan masyarakat Uighur - Utusan Malaysia

Mujahid tak sensitif dengan masyarakat Uighur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof disifatkan sebagai tidak sensitif terhadap masyarakat Islam Uighur apabila mempertahankan kenyataannya berhubung lawatan dekat sebuah pusat latihan di Xinjiang, China hari ini.

Hal demikian ditegaskan Presiden Majlis Angkatan Perpaduan Islam (Map), Mohd. Panji Persada Islam Yahya yang menjelaskan seluruh dunia kini mengetahui bahawa masyarakat Islam di sana mempunyai nasib yang hampir sama dengan rakyat Palestin dan etnik Rohingya di Myanmar.

Beliau berkata, sebagai seorang pemimpin, Mujahid sepatutnya mendapatkan maklumat yang jelas mengenai stiuasi yang dihadapi etnik itu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Beliau (Mujahid) sebagai pemimpin yang bukan sahaja membawa suara rakyat beragama Islam Malaysia tetapi di seluruh dunia, sepatutnya menceritakan apa sebenarnya berlaku terhadap masyarakat etnik Uighur di sana.

“Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya, beliau seolah-olah tidak sensitif terhadap isu hangat sedang dipersoalkan ramai pihak dan kenyataannya juga seperti menyifatkan etnik Uighur selesa dengan latihan dan vokasional yang disediakan,” katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan dimuat naik Mujahid dalam Facebooknya hari ini seperti menggambarkan apa yang berlaku terhadap umat Islam di sana disifatkan sebagai pendirian kebebasan beragama yang perlu dihormati.

Terdahulu Mujahid memuat naik mengenai latihan dan vokasional diterima masyarakat Uighur ketika lawatannya di sana, namun kenyataan itu dibidas Amensty International Malaysia menerusi laporan sebuah portal Free Malaysia Today yang menjelaskan bahawa pusat latihan itu sebenarnya adalah kem ‘pendidikan semula’ dan ‘indoktrinasi politik’ yang mendera masyarakat Uighur.

Dalam pada itu, Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis), Muhammad Ikhwan Nasyriq Salahin turut menegur beliau yang dilihat seperti mempertahankan kerajaan China terhadap penindasan etnik Uighur yang beragama Islam.

“Kerajaan China sendiri pun tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai situasi yang berlaku di Xinjiang.

“Justeru, apa diperkatakan menerusi status dalam Facebooknya itu adalah tidak wajar dan biadab kerana beliau adalah pemimpin yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal Islam,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini