PASIR GUDANG – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim terkilan apabila pihak berkaitan yang menguruskan pencemaran di daerah ini seakan ‘meminggirkannya’ kerana tidak pernah melibatkan beliau termasuk tiada kerjasama atau maklumat diberikan kepadanya.
Hassan terasa hati dengan tingkah laku itu sedangkan beliau merupakan wakil rakyat yang dipilih di kawasan tersebut dan berhak mengetahui sebarang bentuk perkembangan terkini dan apa sebenarnya berlaku.
“Saya tak nak burukkan kerajaan, saya Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH), sebagai Ahli Parlimen saya sedih dengan agensi kerajaan dan Exco berkaitan tiada menghubungi saya. Saya ni wakil rakyat tetapi tidak dimaklumkan perkembangan semasa. Tidak diajak pergi bersama-sama (meninjau kawasan atau terlibat dalam jawatankuasa) seolah-olah saya….”
“Tetapi saya tidak kisah dan saya nak bagitau, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Mohtar Mohd. Abd. Rahman dari Putrajaya maklumkan kepada saya (perkembangan di Pasir Gudang) dan ini bukan dimaklumkan daripada Exco kerajaan negeri, bukan Menteri Besar dan bukan Menteri Kerajaan Persekutuan.
“Dia (Exco kerajaan negeri, Menteri Besar dan Menteri Kerajaan Persekutuan) tidak pandanglah Ahli Parlimen ini…sedangkan kerajaan itu dibina oleh kemenangan satu demi satu Ahli Parlimen, dia tidak pandang saya dan saya melihat ada keangkuhan di sini,” katanya ketika ditemui Utusan Online selepas meninjau sesi persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nusa Damai di sini sebentar tadi.
Bagaimanapun beliau berterima kasih kepada Mohtar Mohd. kerana berterusan memberikan informasi kepadanya berkenaan pencemaran di daerah ini termasuk agensi berkaitan yang secara senyap memberitahunya keadaan di Pasir Gudang.
Hassan berkata, pihaknya akan terus bersuara untuk kepentingan rakyat di daerah ini dan tidak kisah apa akan berlaku terhadapnya.
“Saya tidak boleh bodek-bodek dan saya tidak mempunyai apa-apa kepentingan walaupun selepas ini saya tidak dijadikan calon (wakil rakyat) lagi kerana itu tidak penting bagi saya,” tegasnya. -UTUSAN ONLINE










