Saran MB bertemu penduduk Pasir Gudang - Utusan Malaysia

Saran MB bertemu penduduk Pasir Gudang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri mengarahkan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) dan Jabatan Alam Sekitar bersama-sama Jawatankuasa Penyelarasan Pemantauan dan Saintifik untuk merangka pelan jangka masa panjang menjadikan Pasir Gudang sebuah Bandar Perindustrian yang lestari.

Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, jawatankuasa itu juga perlu memantau keadaan di Pasir Gudang selain aktiviti penguatkuasaan perlu diperbanyak dan diperketat kepada kilang-kilang bahan kimia yang berisiko tinggi.

“Justeru saya menyeru semua pihak untuk berdoa supaya kejadian berlaku di Pasir Gudang itu tidak akan berulang,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Terdahulu, Datuk Seri Che Zakaria Mohd. Salleh (PH-Permas) memohon membawa rundingan supaya DUN Johor membahaskan usul Mengkaji Semula Tahap Keselamatan Rakyat Pasir Gudang di bawah Peraturan Tetap Bilangan 29, Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap DUN Johor.

Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat membenarkan rundingan dibahaskan dengan empat pembahas masing-masing dua daripada wakil kerajaan negeri dan dua daripada wakil pembangkang.

Kerajaan negeri diwakili Che Zakaria dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling, Cheo Yee How manakala pembangkang diwakili Hasni dan ADUN Semarang, Datuk Samsolbari Jamali.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad semasa membahaskan usul itu mencadangkan Dr. Sahruddin turun ke lokasi kejadian gangguan kesihatan di Pasir Gudang bagi meyakinkan penduduknya bahawa keadaan di kawasan itu adalah terkawal.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu, pihak pembangkang menyokong usul tersebut tetapi dengan bersyarat.

“Menteri Besar perlu turun dengan segera dan beri jaminan kepada rakyat bahawa keadaan terkawal, saya pasti Yang Amat Berhormat (YAB) seorang pemimpin yang bertanggungjawab dan tahu apa yang perlu dibuat kerajaan negeri.

“Masalah besar adalah keyakinan masyarakat di Pasir Gudang, YAB sahajalah yang dapat menenangkan penduduk di situ, saya yakin dengan dengan jaminan YAB ia akan selesai,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini