KUALA TERENGGANU – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) hari ini mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula pengambilan semua pekerja secara kontrak dan sambilan bagi membolehkan mereka layak dilindungi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda berkata, selain Perkeso, golongan pekerja itu juga sepatutnya berhak mendapat faedah serta perlindungan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan mencarum.
Beliau memberitahu, sudah tiba masa bagi kerajaan supaya memberi pertimbangan atau menghentikan pengambilan pekerja kontrak atau sambilan di sektor-sektor tertentu sekiranya hak mereka untuk menikmati ganjaran hasil caruman kepada Perkeso dan KWSP dinafikan.
Beliau seterusnya memberitahu, adalah tidak adil bagi para pekerja kontrak atau sementara itu yang merupakan lepasan universiti atau kolej tetapi gagal mendapat faedah daripada caruman kepada Perkeso atau KWSP.
“Langkah ini perlu supaya hak mereka (pekerja kontrak dan sambilan) tidak dinafikan. Ini tidak adil kerana mereka juga rakyat kita. Mereka belajar di universiti atau kolej dan masuk alam pekerjaan tapi oleh kerana nama jawatan itu hanya pekerja kontrak (sambilan) maka telah dinafikan hak mereka.
“Begitu juga hak mereka dapat caruman KWSP dinafikan. Akhirnya kalau apa-apa terjadi pada mereka, umpama orang Melayu kata, mati katak. Tak dapat apa yang mereka berhak dapat,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Lembaga Perkeso menyatakan perkara itu kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Prihatin Aidilfitri Perkeso Terengganu di Wisma Perkeso di sini hari ini.
Yang hadir sama, Pengarah Perkeso Terengganu, Farihah Che Husin.
Azih menarik perhatian, golongan pekerja perlu mempunyai kesedaran tinggi untuk menikmati pelbagai faedah daripada skim perlindungan Perkeso memandangkan agensi itu menyediakan perkhidmatan terbaik.
“Ini saja peluang yang terbuka luas disedia Perkeso, antara perkhidmatan terbaik. Dibandingkan dengan sektor kerajaan, Perkeso jauh lebih baik daripada exgratia yang tiga tahun tak selesai lagi. Sedangkan Perkeso ada skuad prihatin, kemalangan berlaku hari ini, esok skuad ini dah pergi ke rumah (mangsa),” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











