SELAIN landasan mempromosikan karier seni, selebriti serba boleh, Elly Mazlein turut menjadikan laman sosial sebagai tempat meluahkan perasaan.
Sudah beberapa kali Elly dilihat berkongsi masalah peribadi yang melibatkan pihak tertentu dalam Instagramnya.
Bukan niatnya untuk meraih simpati atau sengaja mahu memalukan individu terlibat. Apa pun keterbukaannya itu dianggap langkah dalam memulakan sesuatu tindakan.

“Kadang-kadang kalau kita tak luahkan, orang luar tak tahu. Kita hidup bermasyarakat, adakalanya sesetengah perkara peribadi perlu diketahui oleh orang lain juga.
“Jika didiamkan dan tak dijelaskan bimbang pula akan jadi macam-macam isu lain yang timbul.
“Justeru, saya percaya ia adalah langkah bijak bila kita berkongsi kepada khalayak,” kata Elly menegaskan pendiriannya.
Namun, ada juga mempersoalkan mengenai pendekatan yang dilakukannya itu akan memberi kesan buruk kepada orang lain atau lebih tepat lagi mengaibkan, namun artis ini punya alasan tersendiri.
Kata Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 38, pada awalnya dia langsung tidak terfikir mahu menyakiti atau mencela individu lain atas apa-apa tindakan yang dilakukan.
“Sekarang tak perlu cerita pasal aib. Kalau tak nak diaibkan, jangan buat hal! Kalau saya diberi pilihan, cara ini yang akan saya guna dan ternyata ia berjaya,” tuturnya.
Sementara itu, Elly ketika ditemui dalam sidang akhbar Muzikal Lawak Superstar di Kuala Lumpur, baru-baru ini turut tumpang bersedih dengan kontroversi yang melanda beberapa rakan artis saat ini.
“Saya perasan dan mengikuti cerita-cerita rakan selebriti baru-baru ini. Ya, saya tumpang sedih dengan apa yang berlaku.
“Apa sekalipun, mereka sendiri kena tangani dan menyelesaikan hal itu dengan segera. Kalau ditanya, saya tetap dengan pendirian seperti yang pernah dibuat sebelum ini.
“Alhamdulillah, kehidupan saya kembali tenang dan bahagia,” ujarnya.
Tambah Elly lagi, dia sentiasa berhati-hati dan sedang belajar untuk tidak menjatuhkan hukuman terhadap bakal suaminya.
Elly turut mengandaikan bakal mengakhiri zaman jandanya pada 2020 kerana percaya dengan jodoh serta dugaan yang perlu diharungi masing-masing.
“Saya sedar minggu lalu ramai rakan artis yang saya kenali diuji dengan penceraian. Saya pun pernah mengalami fasa yang sama.
“Sekarang, saya kena sentiasa melupakan hal yang sudah berlalu. Kena selalu muhasabah diri sebab tak boleh sewenang-wenangnya nak menghakimi bakal suami.
“Sayapun pernah diuji, tapi bersyukur sebab dengan ujian itulah membuatkan saya jadi kuat. Dahulu saya tak ada keyakinan dan malu-malu. Orang buat saya, saya akan cepat sedih.
“Sekarang tidak lagi kerana semua itu mengajar saya untuk bangkit.
“Perkara seperti itu sebenarnya membuatkan kita lebih matang, jadi dewasa dan tahu bagaimana hendak kawal situasi,” akhirinya menamatkan perbualan.










