Rupanya bukan ketumbuhan... - Utusan Malaysia

Rupanya bukan ketumbuhan…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pelakon muda Eyka Farhana pernah dirawat di hospital swasta Jun lalu kerana mengalami sakit dalam perut.

Eyka yang sedang menjalani penggambaran Cinta Itu Fairytale ketika itu terpaksa menangguhkan pembedahan yang disarankan oleh doktor apabila disyaki ada ketumbuhan dalam perutnya.

 

Namun apabila mendapatkan rawatan lebih lanjut, perkara yang menakutkan dirinya itu tidak terjadi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebenarnya ia bukan ketumbuhan. Sakit itu kerana saya tersalah makan makanan yang tidak sesuai dengan perut saya. Pertama kali menerima rawatan, doktor mencadangkan saya menjalani pembedahan kerana ada ketumbuhan peringkat awal dalam bahagian perut.

“Namun saya menangguhkannya kerana perlu memberi komitmen kepada penggambaran yang belum selesai. Namun, kali kedua mendapatkan rawatan, doktor sahkan ia bukan ketumbuhan dan boleh disingkirkan dengan memakan ubat yang diberikan.

“Alhamdulillah, saya sudah kembali sihat seperti biasa,” jelas Eyka yang semakin cerewet dalam pemakanan selepas insiden itu.

Baginya, tersalah makan bukanlah perkara kecil kerana boleh menjejaskan pelbagai perkara termasuk mengganggu emosinya.

Menjadikan semua yang terjadi sebagai satu pengajaran, Eyka kini lebih berhati-hati dalam soal pemakanan, Malah seboleh mungkin dia mahu tahu isi kandungan yang terdapat dalam makanan yang diambilnya.

 

“Sebelum ini saya memang seorang yang cukup menjaga pemakanan, namun kesibukan bekerja menyebabkan saya terlepas pandang dan makan apa sahaja.

“Saya juga amalkan makan beberapa jenis suplemen seperti vitamin C dan banyakkan minum air mineral sekurang-kurangnya dua botol besar sehari. Ia penting untuk mengekalkan kesihatan luar dan dalam,” kata Eyka, 24.

Serasi dengan Daler Yusuf

Ketika bergandingan dengan pelakon Daler Yusof dalam drama bersiri Nota Buat Cempaka (siaran RTM), Eyka dan Daler Yusuf dilihat mempunyai keserasian sehingga para peminat terbawa-bawa dengan lakonan mereka sebagai pasangan kekasih.

Malah, ada peminat yang mahu mereka berdua benar-benar menjalin hubungan cinta di luar lokasi.

“Tidak dinafikan saya memang serasi bersama Daler. Hubungan kami menjadi lebih rapat ketika penggambaran drama Nota Buat Cempaka lebih setahun yang lalu. Dia seorang kawan yang baik dan mudah memberikan kerjasama.

“Apa-apapun hubungan kami hanya kawan sesama artis, tidak lebih daripada itu. Kalau ada yang beranggapan kami bercinta, ia benar dalam drama tetapi bukan di alam realiti.

“Tiada istilah mahu menyembunyikan hubungan cinta kerana kami lebih sesuai untuk berkawan.

“Memang ada peminat yang cakap kami nampak sesuai kalau bercinta. Itu hanya pandangan mereka bila melihat gambar kami,” kata Eyka.

Kata pelakon ini, sekiranya masih ada tawaran untuk menggandingkan mereka berdua, dia sudah pasti tidak akan menolaknya kerana menganggap Daler seorang yang berbakat besar dan mempunyai komitmen yang bagus dalam kerjayanya.

Mengakui dirinya masih single, kata Eyka atau nama penuhnya Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi, sama seperti wanita lain dia mahu seorang lelaki yang bertanggungjawab, kelakar, memahami dan direstui oleh keluarga.

“Tanpa restu keluarga tidak mungkin cinta akan kekal,” ujar Eyka yang berterus-terang mahu menumpukan perhatian kepada bidang lakonan terlebih dahulu sebelum berkahwin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini