KDEBWM ambil alih pengurusan sampah MDHS bermula esok - Utusan Malaysia

KDEBWM ambil alih pengurusan sampah MDHS bermula esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – KDEB Waste Management (KDEBWM) akan mengambil alih perkhidmatan pengurusan kutipan sampah domestik di kawasan pentadbiran Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) kos operasi sebanyak RM10 juta setahun, bermula esok.

KDEBWM dalam kenyataan di sini berkata, langkah itu selaras dengan arahan kerajaan negeri supaya pihaknya yang juga syarikat milik Kerajaan Selangor mengambil alih pengurusan sisa pepejal di seluruh pihak berkuasa tempatan di Selangor.

“Kami diberi tanggungjawab melakukan kerja-kerja kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam di Negeri Selangor secara berperingkat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Untuk makluman, KDEBWM pada mulanya telah mengambil alih kerja pembersihan awam bermula pada September tahun lalu di kawasan pentadbiran MDHS,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua MDHS, Shukri Mohamad Hamin berkata, MDHS berharap servis pengurusan sisa pepejal selepas pengambilalihan oleh KDEBWM adalah lebih baik, efektif sekali gus mengurangkan aduan daripada penduduk.

“Saya berharap KDEBWM sentiasa menjaga prestasi kontraktor serta memastikan tiada sebarang masalah aduan tertunggak dan kutipan sampah di tapak yang boleh menyebabkan masalah pencemaran bau serta gangguan lalat dan haiwan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Kompaktor bagi Pengurusan Kutipan Sampah Domestik di Taman Milenium, Kuala Kubu Bharu, Selangor baru-baru ini.

Pada majlis itu, sebanyak 23 lori kompaktor dilengkapi pelbagai peralatan dan teknologi canggih diserahkan kepada subkontraktor untuk kegunaan kerja kutipan sampah domestik di kawasan Hulu Selangor.

Pergerakan setiap lori-lori kompaktor itu akan dipantau melalui penggunaan Vehicle Monitoring System (VMS) secara berpusat di Centralized Command Center (CCC) di Ibu Pejabat KDEBWM, Shah Alam Selangor. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini