GUA MUSANG – Lembaga kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) sudah mengenal pasti kawasan tanah seluas 600 hektar di Paloh 4 di sini sebagai lokasi untuk tanaman kontan.
Pengerusinya, Datuk Sazmi Miah berkata, ladang tanaman kontan itu sebagai usaha membantu meningkatkan serta mempelbagaikan sumber pendapatan penerokanya.
Beliau berkata, pelaksanaan projek itu dijangka bermula awal tahun depan dan kerja penyediaan tapak semaian pula pada bulan Disember ini.
“Kita akan menyediakan ruang untuk melakukan tanaman kontan yang mungkin mengambil masa serta memberi pulangan hasil dalam tempoh dua hingga tiga tahun.
“Bagaimanapun, ladang tanaman kontan yang saya maksudkan bukan sahaja kelapa tetapi ada tanaman lain lagi,” katanya kepada pemberita pada Majlis Tautan Kasih Aidilfitri di Dewan Komuniti Kesedar, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengurus Besar Kesedar, Iskandar Zulkarnain Ibrahim.
Sazmi mengulas lagi, pokok induk seperti kelapa sawit dan getah sudah kekal sebagai punca pendapatan setiap peneroka sejak dahulu lagi.
Katanya, tanaman kontan itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan perbelanjaan peneroka terutama ketika berdepan kejatuhan harga komoditi.
“Kita akan mengusahakan tanaman kontan berdasarkan kesesuaian tanah dan kita dapati dalam ladang sawit pun boleh juga berbuat demikian.
“Selain itu, kita juga boleh menghasilkan tanaman jangka pendek mengikut keperluan, umpamanya buah tembikai yang mengambil masa 90 hari untuk kita memenuhi pasaran semasa dan kehendak setempat,” katanya. – UTUSAN ONLINE











