KUALA LUMPUR – Empat sindiket pelacuran yang menawarkan khidmat seks wanita warga asing dengan bayaran serendah RM170 sejam tumpas selepas diserbu polis di Dataran Mentari, Petaling Jaya semalam.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, dalam serbuan Op Noda yang dijalankan Bahagian D7 Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman pada pukul 11 malam itu, sebanyak 34 wanita warga asing serta lima lelaki tempatan ditahan.
Katanya, serbuan dijalankan di empat premis membabitkan dua pusat urut, selain sebuah hotel dan pusat hiburan.
“Kesemua wanita yang ditahan berusia antara 19 hingga 41 tahun manakala lima lelaki tempatan tersebut dipercayai bekerja dengan sindiket pelacuran berkenaan.
“Hasil siasatan awal mendapati, sindiket itu beroperasi setiap hari bermula pukul 12 tengah hari sehingga 4 pagi dengan bayaran RM170 bagi pakej lengkap layanan seks kepada pelanggan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Rohaimi berkata, pihaknya turut menahan enam pelanggan dalam serbuan terbabit untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan.
“Dalam serbuan itu juga, kita turut merampas beberapa peralatan seperti buku catatan kerja harian, kupon RM20, botol minyak urut, kondom dan sejumlah wang tunai.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan (KK) kerana terbabit kegiatan persundalan selain Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat Tempat Hiburan (EHDTTH),” jelasnya.
Tambahnya, wanita warga asing berkenaan juga turut melakukan pelbagai kesalahan Imigresen mengikut Seksyen 39b Peraturan Imigresen, Seksyen 55B dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen. – UTUSAN ONLINE











