Keluarga masih terkejut kejadian menimpa Azfar Qayyum - Utusan Malaysia

Keluarga masih terkejut kejadian menimpa Azfar Qayyum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING – Keluarga Muhammad Azfar Qayyum Md. Said, 6, yang meninggal dunia selepas dipercayai bermain dengan bapa saudaranya yang menghidap sindrom Down di Kampung Bandar, di sini masih terkejut dengan kejadian itu.

Ibu saudara mangsa, Normaizatul Akmar Abdul Aziz, 27, berkata, mereka sekeluarga juga masih bersedih dan tidak menyangka kejadian itu menimpa anak saudara yang sememangnya rapat dengan adiknya.

Ujar Normaizatul Akmar, meskipun menghidap sindrom Down, adiknya yang berusia 16 tahun merupakan seorang bapa saudara yang penyayang dan sangat menyayangi mangsa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami sekeluarga langsung tidak menyangka mangsa meninggal dunia selepas dikatakan bermain dengan bapa saudaranya yang merupakan adik saya.

“Ini kerana, hubungan mereka amat rapat dan mereka sering bermain bersama, malah ketika kejadian saya difahamkan mereka hanya bermain pedang-pedang di dalam bilik di rumah ini,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang semalam, Muhammad Azfar Qayyum ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh bapa tirinya dengan kesan lebam pada badan dan kepala.

Kanak-kanak terbabit kemudian dikejarkan ke Hospital Baling pada pukul 2.20 petang sebelum doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia antara empat hingga lima jam sebelum itu.

Ekoran kejadian itu, bapa saudara mangsa kini ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terdahulu, keluarga kanak-kanak itu menerima kunjungan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim yang meluangkan masa bertanyakan khabar ahli keluarga mangsa. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini