KOTA KINABALU – Sebanyak 69 individu ditahan atas pelbagai kesalahan penyalahgunaan dadah dan Imigresen dalam operasi yang dijalankan dalam tempoh seminggu bermula pada 22 Jun lepas di sekitar Kota Kinabalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, semua individu yang ditahan berusia antara 14 hingga 50 tahun termasuk 19 daripada mereka yang terdiri daripada warga asing.
“Serbuan dibuat berdasarkan maklumat risikan serta maklumat orang awam berhubung lokasi yang dipercayai menjadi kawasan pengedaran dadah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Habibi berkata, dalam tempoh itu polis menjalankan sebanyak 25 serbuan dan berjaya merampas 28.86 gram syabu, ganja seberat 2.30 gram yang dianggarkan bernilai RM4,359 serta 16 kotak rokok pelbagai jenama.
Beliau berkata usaha membenteras pengedaran dan penagihan dadah akan diperhebatkan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan digalakkan menghubungi hotline 088-529220 atau di Facebook polis Kota Kinabalu. -BERNAMA











