KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menangani isu pencemaran udara di Pasir Gudang, Johor dengan sebaik mungkin termasuk mengambil kira kepentingan ekonomi dan keselamatan penduduk.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan tidak akan sewenang-wenangnya mengarahkan penutupan operasi kilang-kilang di daerah itu sebaliknya memikirkan langkah-langkah mengurus pencemaran dengan baik.
Katanya, kerajaan turut mengambil kira sumbangan kilang-kilang berkenaan dalam membantu peningkatan ekonomi negara.
“Ada tindakan jangka pendek dan panjang. Jangka pendek adalah mengesan pencemaran dan memberi amaran kepada penduduk supaya evakuasi manakala jangka masa panjang, mempertimbangkan penempatan semula penduduk di kawasan baharu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penutup Khalifah Junior di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di Bangi, dekat sini hari ini.
Yang turut hadir pada majlis ialah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), Datuk Paimuzi Yahya dan Pengarah Kanan ILIM, Zawanah Muhammad.
Beliau ditanya berkaitan bau busuk yang melampau di daerah itu baru-baru ini menyebabkan penduduk mengalami simptom sesak nafas dan muntah.
Bau busuk dan tengik dilaporkan semakin kuat sewaktu gerimis di beberapa kawasan perumahan seperti Taman Mawar, Taman Pasir Gudang dan Taman Bukit Dahlia yang tidak jauh dari Sekolah Agama Taman Mawar iaitu sekolah pertama yang terjejas dalam insiden hampir lebih 10 hari lalu.-UTUSAN ONLINE











