KUALA LUMPUR – Semua majikan digesa mempertimbangkan jadual waktu kerja anjal bagi kakitangan yang mempunyai pasangan tinggal berjauhan.
Bagaimanapun, pertimbangan itu juga hanya terpakai untuk golongan berkahwin sahaja.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, jadual waktu anjal ini akan memberikan peluang kepada kakitangan ini pulang ke pangkuan keluarga secara mingguan.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, ada dalam kalangan pasangan berjauhan yang hanya dapat bertemu setahun sekali dan ia amat tidak baik untuk pembangunan keluarga.
“Saya baru dapat laporan, memang ada (pasangan tinggal berjauhan). Kita mahukan supaya ini dapat ditangani dengan baik.
“Namun,ia terpulang kepada majikan. Susunan jadual waktu anjal bokeh dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penutup Khalifah Junior di Institut Latihan Islam Malaysia di Bangi, dekat sini hari ini.
Beliau mengulas laporan Kajian Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN) bahawa terdapat lebih 500,000 pasangan suami isteri di negara ini hidup terpisah ekoran tuntutan pekerjaan.
Kajian juga mendapati golongan ini berisiko mengalami tekanan perasaan serta kemurungan, kerana perlu menggalas tugas menguruskan rumah tangga serta keluarga secara sendirian.
Ini kerana masalah jiwa itu timbul kerana seorang daripada mereka terpaksa mengambil peranan tambahan apabila perlu menguruskan keluarga dan menjaga anak, manakala yang tinggal berjauhan dan sendirian pula berdepan kesunyian.
LPPKN mendapati, situasi itu bermula apabila golongan bapa berhijrah demi mencari pendapatan lebih baik untuk menyara keluarga.
Keadaan itu menjadi faktor utama pasangan memilih menjadi ‘keluarga komuter’, istilah digunakan LPPKN bagi merujuk pasangan berkahwin, tetapi perlu tinggal berjauhan di antara satu sama lain, demi memenuhi tuntutan ekonomi seisi keluarga. -UTUSAN ONLINE











