KUALA LUMPUR – Sehingga Jun lalu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerima sebanyak 68 permohonan daripada individu dan pelbagai agensi untuk membuat semakan terhadap 1,254 orang kakitangan dan bakal pekerja.
Semakan itu dibuat melalui Sistem Semakan Pesalah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak Dalam Daftar Kanak-Kanak (e-DKK) yang telah mula digunakan sejak 1 April 2019 yang lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, sistem ini diwujudkan untuk membolehkan ibu bapa, individu dan majikan yang mengambil seseorang yang tepat untuk menguruskan kanak-kanak.
Jelasnya yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, semakan itu dibuat bagi memastikan individu tersebut tidak mempunyai sebarang rekod jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
“Saya menyeru kepada semua pihak yang berkaitan untuk menggunakan sistem ini,” katanya sewaktu berucap pada majlis penutup Program Khalifah Junior anjuran JKM di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di Bangi dekat sini hari ini.
Yang turut hadir pada majlis ialah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), Datuk Paimuzi Yahya dan Pengarah Kanan ILIM, Zawanah Muhammad.
Tambah Wan Azizah, pihaknya dalam proses membangunkan Program Diversion yang akan dilaksanakan Ogos ini.
Katanya, program ini merupakan pendekatan alternatif untuk mengendalikan kanak-kanak yang mempunyai konflik dengan undang-undang tanpa melalui sistem keadilan sedia ada.
“Tiga buah daerah dipilih sebagai projek perintis iaitu Sepang, Seremban dan Port Dickson.
“Projek perintis ini dijalankan bagi menilai kesesuaian program, kesediaan serta kemampuan sumber yang terlibat dan memberi ruang kepada penambahbaikan program sebelum dilaksanakan seluruh negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE











