ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri kini berada di peringkat akhir untuk memuktamadkan pelaksanaan semakan semula kadar cukai tanah sebagaimana terkandung di dalam Seksyen 101 Kanun Tanah Negara.
Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, semakan semula dan Pindaan Cukai Tanah itu bertujuan bagi merangsang pembangunan serta pertumbuhan ekonomi negeri di samping boleh meningkatkan hasil kerajaan negeri.
“Apa yang pasti, kerajaan negeri akan memastikan semakan semula dan pindaan cukai tanah itu tidak akan membebankan rakyat khususnya golongan B40,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Tan Hong Pin (PH-Skudai) mengenai perancangan kerajaan negeri dalam usaha memperluas jenis hasil supaya dapat memperkukuhkan kewangan negeri ini.
Dr. Sahruddin berkata, menerusi semakan semula cukai tanah itu sudah pasti akan menyaksikan peningkatan hasil tanah sekali gus ia akan dapat dimanfaatkan melalui pertambahan program dan projek ke arah kesejahteraan rakyat.
Beliau memberitahu, kali terakhir pindaan cukai tanah diadakan adalah pada tahun 2004 dan selepas 15 tahun, kerajaan negeri berpendapat ia perlu diperhalusi serta ditambah baik. – UTUSAN ONLINE.











