PORT DICKSON – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan menahan dua bot penumpang di perairan negeri ini dekat sini kira-kira pukul 4 petang semalam.
Pengarah APMM Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Amran Daud berkata, bot terbabit ditahan anggota APMM yang membuat rondaan rutin di kedudukan 0.1 dan 0.7 batu nautika barat pantai Telok Kemang.
“Pemeriksaan mendapati salah sebuah bot telah beroperasi dengan lesen yang tamat tempoh, manakala sebuah lagi bot membawa penumpang melebihi muatan.
“Kedua-dua tekong serta dua bot ditahan dan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Amran berkata, sepanjang tahun ini, pihaknya telah membuat lima tangkapan ke atas bot penumpang di atas pelbagai kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
Justeru, beliau menasihatkan pengusaha bot penumpang tidak mementingkan keuntungan semata-mata dan mengabaikan aspek keselamatan pelancong.
Kata beliau, pihaknya sedang meningkatkan operasi penguatkuasaan di perairan kedua-dua negeri ini dan meminta orang ramai menyalurkan maklumat jenayah dan kecemasan di laut di talian Pusat Operasi Maritim 06-3876730 dan 999 yang beroperasi 24 jam. – K! ONLINE











