JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri akan mengadakan perjumpaan dengan pelbagi agensi kerajaan serta pihak berkaitan berhubung pembangunan di Pasir Gudang yang dikatakan tidak lestari dan telah memberi kesan jangka panjang yang negatif terhadap alam sekitar.
Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, beliau mengambil maklum berhubung kenyataan Bee Yin semalam dan akan mengadakan perbincangan mengenai perkara itu.
“Saya akan berbincang dengan pihak-pihak berkaitan termasuk memanggil agensi berkenaan seperti Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan PlanMalaysia (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa) untuk meneliti secara terperinci perkara tersebut.
“Saya juga berharap pihak kementerian terbabit akan berbincang bersama kami sekali gus membantu mencari penyelesaian terbaik,” katanya di sini hari ini.
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin dalam sidang akhbar di Putrajaya baru-baru ini berkata, pembangunan di Pasir Gudang yang tidak lestari telah memberi kesan jangka panjang yang negatif terhadap alam sekitar.
Menurut beliau, kepesatan pembangunan serta kepadatan industri kimia yang tinggi di Pasir Gudang menjadi penyumbang utama kepada impak persekitaran termasuk udara, tanah dan sungai.
Tambah Bee Yin, pembangunan tidak lestari ini menyebabkan alam sekitar menjadi tepu dengan pelbagai gas atau wap yang terampai di udara, pelepasan ‘afluen’ yang tidak dikawal rapi di perparitan dan saliran sekali gus menyebabkan persekitaran tidak stabil dan amat sensitif.
“Pembangunan Pasir Gudang yang tidak lestari juga menyebabkan ketiadaan zon penampan antara industri berasaskan bahan kimia dengan kawasan sekolah, perumahan dan pusat aktiviti masyarakat sekali gus mendedahkan penduduk kepada risiko bencana kimia,” katanya. – UTUSAN ONLINE











