PUTRAJAYA – Kempen Pemilikan Rumah (HOC) 2019 yang sepatutnya berakhir bulan ini dilanjutkan sehingga Disember depan bagi membuka lebih ruang agar ramai rakyat negara ini memiliki kediaman sendiri sekali gus membantu industri perumahan negara untuk berada pada landasan sebenar.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, kempen yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu telah mendapat sambutan yang baik dari pembeli-pembeli rumah dan syarikat pemaju perumahan.
“Saya telah dimaklumkan bahawa terdapat permintaan dan cadangan yang kuat dalam kalangan para pembeli dan syarikat-syarikat pemaju agar tempoh kempen ini dilanjutkan sehingga Disember depan daripada sasaran asal iaitu hanya sehingga Jun.
“HOC ini telah memberi manfaat kepada pembeli-pembeli unit rumah baharu dengan menawarkan pengecualian terus duti setem atau pengurangan duti setem yang bergantung kepada harga unit sesebuah rumah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Selain itu tambah Zuraida, menerusi HOC, tambahan potongan harga 10 peratus berdasarkan harga permit iklan dan jualan asal atau harga jualan juga dapat dinikmati pembeli. – UTUSAN ONLINE











