JELEBU – Polis malam ini telah mengenal pasti dua mangsa kemalangan sebuah peluncur udara bermotor atau paramotor yang terhempas dekat Purun, Kuala Klawang di sini hari ini.
Mereka ialah seorang warga negara Amerika Syarikat (AS), Les Zsort Wrosmarty, 60, dan seorang lelaki tempatan, Siow Moon Yoew, 56.
Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, lelaki AS itu cedera terbakar dan melecur di bahagian kepala, tangan kanan dan kedua belah kakinya.
“Moon Yoew terbakar dan melecur di bahagian muka, tangan dan kaki.
“Kedua-dua mangsa telah mendapatkan rawatan awal di Hospital Jelebu sebelum di hantar ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk rawatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, polis belum dapat merakam keterangan terperinci daripada kedua-dua mangsa yang perlu menjalani rawatan lanjut di hospital berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang tadi, sebuah peluncur udara bermotor atau paramotor telah terhempas di satu kawasan hutan dekat Purun, Kuala Klawang di sini. – UTUSAN ONLINE











