KANGAR – Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man menyifatkan kerjasama politik antara UMNO dan Pas yang terjalin erat pada hari ini adalah satu anugerah Allah SWT tidak ternilai dan perlu dipertahankan selama-lamanya.
Katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Kangar, selepas lebih 42 tahun bercakaran, Allah SWT telah membuka hati pemimpin serta penyokong kedua-dua parti itu untuk bersatu.
Ujar beliau, suasana seperti ini sama sekali tidak pernah dibayangkan sepanjang berkecimpung di dalam politik UMNO sejak 1981.
“Saya masih ingat pada 1972, ketika itu Pas menyertai Barisan Nasional (BN). Namun atas perkara yang saya sendiri tidak tahu, lima tahun kemudian kedua-dua parti itu berpisah.

“Sejak itu, bermula konflik dalam kalangan orang Melayu UMNO dan Pas yang sentiasa bercakaran serta bermusuhan sesama sendiri. Akhirnya, selepas 42 tahun, Allah SWT telah bukakan hati kita untuk bersama dalam semangat penyatuan ummah ini,” katanya ketika berucap pada majlis rumah terbuka Aidilfitri BN dan Pas negeri di Dewan Warisan di sini malam tadi.
Yang turut hadir, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin; Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Shukri Ramli; Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Azizan Sulaiman dan barisan kepemimpinan kedua-dua parti itu.
Tambah Azlan, beliau yakin sesuatu yang lebih baik dalam soal kerjasama UMNO dan Pas itu akan berlaku pada masa akan datang.
“Diharapkan persamaan ini akan diteruskan sampai bila-bila. Kita akan lihat perubahan besar dalam arena politik negara dengan kerjasama kedua-dua parti ini,” katanya.
Dalam pada itu, orang ramai tidak melepaskan peluang menghadiri rumah terbuka Aidilfitri yang julung kalinya dianjurkan secara bersama oleh BN dan Pas negeri ini. – UTUSAN ONLINE











