KULIM – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) telah dapat menghapuskan budaya mengugut peniaga untuk memberi wang kepada kerajaan.
Beliau yang juga Pengerusi PH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, amalan rasuah seperti mengugut peniaga dalam urusan pemberian visa perlu dihapuskan.
Kata beliau yang juga Ahli Parlimen Langkawi, jika perkara ini dan amalan rasuah lain dapat dilakukan di peringkat kerajaan, negara akan menjadi maju.
“Kerajaan juga memberi kebebasan kepada mana-mana pihak untuk membuat teguran,” katanya semasa berucap sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bersatu Peringkat Nasional di Dewan Konvensyen MBI Desaku di sini, malam ini.
Yang turut hadir Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan kepimpinan Bersatu, barisan menteri dan timbalan menteri.
Hadir sama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Pada 26 Jun lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur dengan tujuh pertuduhan menerima suapan daripada sebuah syarikat pengendali perkhidmatan pusat sehenti di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN), dua tahun lalu.
Dalam pada itu, Perdana Menteri memberitahu, negara ini bertuah kerana peralihan kuasa daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang berkuasa selama 61 tahun kepada kerajaan PH berjalan lancar tanpa pertumpahan darah.
Beliau berkata, perkara itu adalah satu pencapaian yang besar buat rakyat negara ini.
“Walaupun terdapat usaha pihak-pihak tertentu untuk menggagalkan kemenangan dan peralihan kuasa tersebut tetapi tidak berjaya.
“Inilah Malaysia, walaupun kerajaan lama berkuasa 61 tahun tetapi peralihan berjalan lancar. Berbeza di negara lain, walaupun mereka mengamalkan demokrasi tetapi peralihan kuasa kerajaan telah mengakibatkan pertumpahan darah,” katanya.
Perdana Menteri seterusnya berkata, rakyat negara ini juga beruntung kerana dapat meraikan sambutan hari kebesaran agama kaum-kaum dengan mengadakan rumah terbuka dengan aman dan tenteram. – UTUSAN ONLINE











