MASALAH kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini sudah menjadi isu yang tidak ada kesudahan. Walaupun pelbagai pelan dan langkah dilaksanakan kerajaan bagi membendung masalah ini, sehingga ke hari ini masih lagi berlarutan dan seperti tidak ada penghujung. Meskipun suasana ekonomi Malaysia dan dunia pada masa ini dikatakan suram dan tidak memberangsangkan, jumlah yang masuk bagi mencari rezeki ke Malaysia tidak juga surut-surut.
Berdasarkan kepada statistik terbaharu Jabatan Imigresen, sepanjang Januari hingga Jun tahun ini sejumlah 7,940 operasi penguatkuasaan sudah dijalankan melibatkan pemeriksaan hampir 100,000 orang warganegara asing. Daripada jumlah tersebut seramai 23,295 PATI telah dikenakan tindakan undang-undang. Warganegara Indonesia merupakan pendatang asing yang paling ramai ditangkap iaitu 8,011 (34 peratus), Bangladesh (5,272 atau 23 peratus) dan selebihnya ialah Myanmar, Filipina, Thailand dan lain-lain. Dalam tempoh lima bulan itu juga 26,116 orang PATI telah diusir ke negara asal dan sejumlah 605 orang majikan dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Imigresen.
Itu statistik yang sah, dan belum dicampur lagi dengan jumlah PATI yang berjaya melarikan diri sama ada masuk ke dalam hutan kelapa sawit, hutan batu di bandar-bandar besar atau disorok majikan yang penyayang. Dipercayai berpuluh ribu lagi pendatang haram ini masih lepas bebas dan berjaya mengelak daripada ditahan pihak berkuasa.
Masalah ini sudah menjadi isu nasional yang menimbulkan kebimbangan rakyat kerana melibatkan aspek keselamatan sempadan dan keselamatan dalam negara selain memberi kesan yang cukup besar kepada kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi negara. Kerajaan yang menyedari masalah ini semakin menjadi-jadi dan masih tidak dapat dibendung baru-baru ini mewujudkan Pelan Holistik Penguatkuasaan PATI untuk mengatasi masalah berkenaan.
Pelan tersebut yang akan dilaksanakan selama lima tahun menggariskan strategi penguatkuasaan yang komprehensif melibatkan penyertaan pelbagai pihak seperti kementerian, agensi kerajaan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan majlis pengurusan komuniti kampung. Penglibatan menyeluruh seluruh agensi diharapkan dapat mengurangkan jumlah PATI dan membendung kemasukan secara tidak sah yang baharu.
Dalam keadaan kerajaan merangka pelbagai langkah dan pendekatan untuk mengatasi isu ini, kenyataan Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran bahawa kerajaan akan mempertimbang cadangan untuk mengambil pekerja asing dari Afrika bagi menampung keperluan tenaga pekerja asing dalam sektor perladangan pada masa akan datang sedikit mengganggu minda rakyat Malaysia. Dalam keadaan satu Malaya tahu begitu banyak onar jenayah yang sudah dilakukan warga Afrika di sini, tidak ada seorang pun yang senang apabila nama warga Afrika tiba-tiba terpetik untuk dibawa masuk bekerja di negara ini.
Alasan yang diberikan kerana pekerja dari Vietnam dan Indonesia tidak lagi mahu datang untuk bekerja di negara ini disebabkan gaji yang diterima tidak jauh bezanya daripada yang diterima di negara asal. Benarkah begitu? Berdasarkan laporan akhbar hampir setiap hari ada sahaja PATI yang ditangkap kerana cuba masuk mencari rezeki ke negara ini atau yang sedang bekerja secara haram di sektor perladangan. Malah ada yang sanggup menggadai nyawa masuk melalui jalan laut dengan menaiki bot atau perahu kecil. Ada yang sanggup berkampung dan meredah hutan berbulan-bulan lamanya. Sebahagian tenggelam dalam perjalanan dan berkubur di dasar lautan sebahagian pula dikuburkan tanpa nisan dalam satu liang besar di dalam hutan. Semuanya hanya kerana mahu mencari kehidupan di Malaysia, bumi mewah yang dilimpahi pelbagai rezeki.
Seperkara lagi kenapa tidak diambil sahaja dari negara berdekatan atau negara sumber sedia ada seperti Bangladesh, Nepal atau negara ASEAN lain seperti Timor Leste. Negara-negara ini sudah tentu sangat berbesar hati dan ‘kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan’ jika ada tawaran dari Malaysia. Atau tawarkan sahaja peluang pekerjaan ini kepada para pelarian atau pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR). Sekurang-kurangnya mereka ada kerja untuk meneruskan kehidupan dan tidak lagi mengemis atau mengharapkan ihsan orang ramai. Kenapa perlu sampai merentas beberapa benua lain untuk mencari pekerja di sektor tersebut sedangkan banyak lagi pilihan ada di depan mata.
Selain itu, bukankah mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing merupakan salah satu perkara yang terkandung dalam manifesto kempen pilihan raya kerajaan memerintah sekarang? Di manakah janji untuk mewujudkan satu juta peluang pekerjaan kepada rakyat sendiri yang termaktub dalam ‘manifesto bukan janji’ yang dicanang berdegar-degar sepanjang kempen dahulu?
Malaysia tidak perlu ‘menjemput’ warga Afrika kerana sebenarnya mereka sudah lama masuk bertapak ke negara ini. Mereka licik dan guna pelbagai cara untuk masuk ke negara yang kaya raya ini setelah gagal masuk ke negara kaya raya lain di Eropah atau Amerika Syarikat. Sudah banyak kes mereka menyelinap ke negara ini berlaku dengan menyalah gunakan visa pelajar. Daftar kolej swasta hari ini, masuk kelas sebulan dan selepas itu hilang tidak dapat dikesan.
Di Malaysia, warga Afrika bukan hanya ada di bandar-bandar besar sahaja, mereka sudah meneroka hampir ke seluruh negara. Kalau tak percaya pergilah ke Banting, Tanjung Karang, Sabak Bernam atau Kuala Besut. Tidak dapat dipastikan adakah kelibat warga Afrika yang bersepah di seluruh pelosok negara membimbit brief case berniaga jam tiruan dan tali pinggang itu pelajar kolej swasta yang ponteng kelas?
Itu belum lagi diambil kira pelbagai kes jenayah seperti sindiket penipuan cinta siber atau love scam, pengedaran dadah, kes jenayah berat menggunakan senjata api atau penipuan harta raja benua Afrika tidak dituntut yang hampir setiap bulan ada tangkapan dan dalangnya warga Afrika. Sindiket cinta siber merupakan ancaman jenayah yang sampai sekarang masih terus berleluasa dengan Malaysia seolah-olah menjadi hab atau pangkalan kepada jenayah ini.
Menurut statistik Bahagian Jenayah Siber dan Multimedia Polis Diraja Malaysia (PDRM) terdapat peningkatan kes saban tahun bermula 2015. Kebanyakan kes didalangi warga Nigeria. Sehingga Julai 2018 sahaja sebanyak 1,116 kes direkodkan dengan nilai kerugian RM64.3 juta. Selain itu banyak juga kes bagaimana warga Afrika ini membina koloni di sesebuah kawasan perumahan dan melakukan gangguan termasuk gangguan seksual, menimbulkan kekecohan, pergaduhan kerana mabuk dan ancaman jenayah kepada masyarakat setempat sehingga menimbulkan rasa tidak selamat serta menganggu keharmonian dan kesejahteraan hidup penduduk.
Rakyat Malaysia ada hak untuk merasa resah dan tidak selesa dengan pengumuman tersebut. Umum sudah mengetahui rekod pendatang asing warga Afrika di negara ini. Tidak nampak yang positif setakat ini, menakutkan adalah! Tidak perlu penjelasan lanjut. Dengan masalah berkaitan PATI sedia ada masih tak selesai-selesai lagi, bersedialah untuk ‘cari dan hadap penyakit’ baharu!











