Pada 2009, dengan jarak hampir 804.6 kilometer (km) dari langit Siberia, dua satelit bertembung dengan kelajuan kira-kira 35,888 kilometer sejam menghamburkan ribuan serpihan ke ruang angkasa.
Perlanggaran pada kelajuan tinggi itu merupakan angkara satelit Cosmos 2251 yang tidak aktif milik Rusia yang bertembung dengan satelit komunikasi Amerika Syarikat yang aktif, Iridium 33.
Kejadian itu mencatat sejarah pertama perlanggaran antara dua satelit di angkasa lepas sehingga mencetuskan kebimbangan tentang masalah sampah sarap angkasa yang semakin meningkat.
Dianggarkan lebih 23,000 serpihan sampah buatan manusia dengan saiz lebih 10.4 sentimeter (sm) iaitu lebih besar daripada dua biji bola golf dan 70,000 serpihan berukuran dua sm beredar di sekeliling bumi.
Kebanyakan sampah ini berada antara 2,011 km dari permukaan bumi di kawasan dikenali sebagai orbit bumi rendah yang menempatkan beribu-ribu satelit seperti kumpulan Sistem Pemantau Bumi milik Agensi Pentadbiran Angkasa dan Aeronautik Negara (NASA) dan Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).
Walaupun persekitaran angkasa lepas amat luas dengan 23,000 serpihan dalam kedudukan yang jauh antara satu sama lain tetapi sekecil mana sekalipun bahan terapung buatan manusia, pasti akan menimbulkan masalah bagi pengorbit aktif bumi kerana pergerakannya yang terlalu laju iaitu 10 kali lebih laju daripada tembakan sebutir peluru.
Laporan National Geographic menyatakan sampah sarap di angkasa semakin bertimbun sejak satelit buatan manusia pertama Sputnik 1 dilancarkan pada 4 Oktober 1957 dan sehingga kini lebih 4,700 pelancaran dilakukan oleh pelbagai negara di seluruh dunia.
Sampah ini bukan sahaja terdiri daripada roket pelancar satelit di orbit dan satelit yang telah tamat jangka hayat tetapi benda kecil seperti cip pewarna yang terkeluar daripada peralatan, nat dan bolt, sarung tangan, kamera, beg sampah, penutup lens, pemutar skru, berus gigi malah spatula.
Namun jumlahnya bertambah secara mendadak sejak dekad kebelakangan ini ekoran kemalangan pada 2009 dan kemusnahan satelit cuaca Fengyun-1C milik China pada 2007 semasa ujian peluru berpandu antisatelit.
Pada 27 Mac lalu, India mengumumkan kejayaannya melancarkan ujian peluru berpandu antisatelit, Microsat-R sekali gus membawa sampah baharu melalui sekurang-kurangnya 400 serpihan bertebaran di angkasa lepas.
Menurut pakar astronomi, Jonathan McDowell dari Pusat Harvard-Smithsonian Astrofizik, keghairahan banyak pihak menganjurkan jelajah angkasa dengan harga yang murah akan menyaksikan lebih banyak satelit dilancarkan ke angkasa lepas setiap tahun sekali gus meningkatkan risiko perlanggaran satelit.
“Jika kamu menempatkan 10 lagi satelit di ruang angkasa, risiko kemalangan ini bukan 10 kali lebih besar tetapi 100 kali,’’ katanya.
Setakat ini tiada teknologi mampu membersihkan sampah di angkasa lepas namun agensi angkasa Jepun (JAXA) kini sedang menguji sebuah kapal angkasa elektronik dikenali sebagai penambat elektrodinamik (EDT).
Apabila dilancarkan nanti, kapal sepanjang hampir 701 meter dengan keluasan 10 padang bola sepak itu dijangka melakukan tugas-tugas menghambat keluar sampah dari orbit ke atmosfera bumi bagi membolehkan sampah itu terbakar.
Setakat ini hanya itu pilihan yang ada manakala cadangan lain termasuklah menggunakan magnet gergasi, tempuling angkasa dan jaring besar.
Walaupun sampah sarap ini akan kehilangan altitud dan terbakar apabila memasuki atmosfera bumi, namun jumlahnya akan bertambah dan meningkatkan risiko berlakunya perlanggaran antara sesama satelit malah sehingga tahun lalu kira-kira 400 serpihan sampah ini jatuh ke bumi.
Dengan kebergantungan manusia terhadap satelit bukan sahaja untuk sains tetapi komunikasi, navigasi dan kajian cuaca, perlanggaran antara satelit pasti akan memberi kesan bukan sahaja kepada kehidupan harian manusia juga terhadap ekonomi dunia.











