Kenapa pencemaran berulang? - Utusan Malaysia

Kenapa pencemaran berulang?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Baru tiga bulan negara digegarkan oleh fenomena bencana pencemaran udara daripada bahan kimia bertoksik melibatkan lebih 6,000 penduduk di sekitar Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor, sekali lagi kejadian serupa berlaku di tempat yang hampir sama. Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika mengulas isu ini menjelaskan bencana yang sama tidak seharusnya berulang, dan mereka yang melakukannya perlu diambil tindakan tegas.

Saya bersetuju, bencana ini tidak sepatutnya berulang. Apabila kejadian sama berlaku lagi, ini jelas menunjukkan potensi pencemaran bahan toksik masih di luar kawalan dan memerlukan perhatian yang sangat serius.

Pencemaran udara kedua ini juga cukup membimbangkan apabila 13 buah sekolah terpaksa ditutup dan ramai pelajar yang berasa mual, sesak nafas dan muntah ketika terhidu gas sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital. Akhirnya, kerajaan mengambil keputusan untuk menutup semua sekolah dan institusi pendidikan di daerah Pasir Gudang. Komuniti setempat pula menunjukkan rasa kecewa dan mulai tidak yakin untuk terus menginap di kawasan terbabit.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam wawancara saya bersama wartawan Mingguan Malaysia, Sharaimei Shaik Ahmedullah pada 17 Mac lalu, saya telah jelaskan beberapa perkara asas yang perlu diberikan perhatian dan diambil pengajaran. Pencemaran daripada bahan kimia bertoksik adalah permulaan kepada potensi bencana alam sekitar atau bencana teknologi serius, jika tidak dibendung segera menyebabkan bencana lebih besar di luar kawalan. Ia bukan sahaja melibatkan pencemaran udara, tetapi juga pencemaran air dan tanah.

Negara terus maju, industri menggunakan bahan kimia bertoksik semakin meningkat, dan kawasan penempatan semakin hari semakin berhampiran dengan kawasan industri. Pengurusan pencemaran bahan kimia bertoksik demi keselamatan awam memerlukan perancangan yang syumul, pengurusan bahan kimia industri yang cekap, sistem kawalan dan penguatkuasaan yang mantap, dan keprihatinan komuniti yang tinggi. Semua perkara ini tidak boleh dikompromi kerana impak bencana sangat bahaya dan boleh memudaratkan negara secara jangka panjang.

Perancangan guna tanah untuk industri menggunakan bahan kimia bertoksik memerlukan pertimbangan teliti. Pilihan pertama, jika boleh elok dihindarkan daripada membangun industri berasaskan bahan kimia bertoksik. Jika masih perlu dilaksanakan, pemilihan tapak untuk kawasan industri perlu dibuat berhati-hati dengan mengambil kira kesan minimum kepada alam sekitar dan masyarakat awam. Sisa kimia bertoksik tidak boleh dihilangkan, tetapi perlu dilupus secara teratur.

Oleh itu, kawasan sesuai untuk pelupusan bahan kimia perlu difikirkan terlebih dahulu. Pada masa sama zon penampan (buffer) antara kawasan industri dengan perumahan dan sungai mencukupi perlu disediakan. Zon penampan boleh terdiri daripada kawasan hutan atau pertanian jangka panjang.

Lebih penting lagi adalah usaha mengurus bahan kimia industri, khususnya bahan bertoksik perlu diperkemaskan lagi. Kita perlu mengikuti setiap kitaran penggunaan bahan kimia, daripada bekalan, penggunaan dan sisa. Semua maklumat ini perlu direkodkan dan dipantau secara berterusan. Di peringkat antarabangsa, pengelasan dan protokol pengurusan bahan kimia industri telah tersedia, dan kebanyakan negara maju menggunakan garis panduan dan amalan pengurusan piawai. Jika Malaysia belum menguatkuasakan sepenuhnya peraturan begini, masanya telah tiba untuk berbuat demikian. Ini perlu diikuti dengan sistem kawalan dan penguatkuasaan yang tegas.

Satu lagi aspek penting yang jarang diberikan perhatian ramai adalah keprihatinan dan hak komuniti yang tinggal di kawasan berpotensi atau berisiko pencemaran bahan kimia. Pembinaan sekolah dan prasarana awam perlu memberikan perhatian kepada risiko bencana. Ia bukan sahaja bencana bahan kimia bertoksik, tetapi bencana lain seperti banjir dan tanah runtuh. Keprihatinan masyarakat bermula dengan membuat pilihan bijak, khususnya ketika membeli rumah kediaman. Perkara lain melibatkan penghayatan keadaan setempat dan potensi bencana. Persediaan seperti kemudahan keselamatan awam perlu diraih daripada kerajaan dan pemaju, serta persediaan kendiri seperti insurans berkaitan keselamatan dan kesihatan perlu dipertimbangkan.

Di Pasir Gudang terdapat lebih 2,000 kilang dan sekurang-kurangnya 250 kilang menggunakan bahan kimia dalam operasinya. Ini jumlah yang besar dan memerlukan sistem pengurusan cekap. Pendekatan terbaik dan bersifat lestari adalah Majlis Perbandaraan Pasir Gudang mempunyai keupayaan sumber manusia dan kemahiran yang mencukupi bagi mengurus sektor industri secara bersepadu demi kepentingan alam sekitar dan kesejahteraan komuniti. Kerajaan negeri perlu memberikan perhatian kepada kepelbagaian guna tanah dan bentuk pembangunan di setiap daerah, dan memberikan kemudahan bersesuaian dengan keperluan serta isu pengurusan berkaitan. Pemerkasaan tadbir urus di peringkat daerah amat penting untuk mengatasi pelbagai isu tempatan, khususnya berkaitan bencana alam dan teknologi.

Apa yang berlaku di Pasir Gudang mengenai bencana pencemaran bahan kimia ibarat ‘hujung ketulan ais yang terapung di lautan’. Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu memberi perhatian serius daripada dua kejadian pencemaran ini. Kita perlu belajar daripada kelemahan ini untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama. Lebih penting lagi, kita perlu bersedia mengharungi cabaran serupa di masa depan demi keselamatan awam dan kesihatan alam sekitar.

PROFESOR EMERITUS DATO DR. IBRAHIM KOMOO ialah Felo Penyelidik Utama, Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); dan Ahli Tetap, Majlis Kualiti Alam Sekitar, Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini