Perang belum tamat - Utusan Malaysia

Perang belum tamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AGAK lama tidak muncul dengan kontroversi, penyanyi rap terkenal Nicki Minaj kembali bikin panas dengan sindiran pedasnya.

Menyelar tindakan Miley Cyrus yang didakwa menyentuh nama dan imejnya menerusi lagu, Nicki dikatakan bengang kerana menganggap Miley sengaja mencari masalah dengannya.

Ketika menghadiri sesi temu bual dalam program Queen Radio Show, Nicki dilihat mengambil peluang keemasan itu untuk melepaskan segala marahnya dengan mengecam Miley secara langsung.

Memuatkan artikel berkaitan…

Walhal, ketika itu dia sepatutnya lebih sibuk mempromosikan lagu terbaharunya, Megatron yang diterbitkan awal minggu lepas.

“Saya lihat ramai yang cuba mengaitkan nama saya untuk meraih pengaruh dan perhatian. Memang itulah yang sering berlaku dan nampaknya dia sendiri yang memulakan perang ini.

“Dia memperlihatkan seolah-olah saya yang nampak jahat manakala dia wanita yang baik. Walhal, dia mencela saya dalam kebanyakan majalah dan media tanpa sebarang sebab,” katanya.

Marahnya Nicki pada Miley sehinggakan dia turut mengutuk watak pelakon dan penyanyi itu dalam drama berjudul Black Mirror, Ashley O yang didakwa cuba meniru imejnya.

“Sekarang sibuk nak pakai rambut palsu berwarna merah jambu, semua nak jadi Nicki. Inilah masalahnya,” tambahnya.

Tidak cuma itu, dalam siaran langsung menerusi program itu juga Nicki dengan berani mendedahkan, kononnya pernah ternampak Miley berkelakuan tidak senonoh dengan Mike Will.

Kononnya, kejadian itu berlaku ketika Miley dan Will berada dalam sebuah studio ketika kedua-duanya sedang berkolaborasi menghasilkan album Bangerz pada 2013.

MILEY CYRUS
MILEY CYRUS

Cardi B sudah berlalu

Persoalannya, apa yang membuatkan penyanyi berusia 36 tahun ini begitu marah dengan Miley?

Setelah diselidik, rupa-rupanya dia berang kerana Miley cuba mengungkit insiden pergaduhannya dengan Cardi yang pernah berlaku sebelum ini tentang siapakah diva rap yang sebenar.

Menganggap pergaduhan antaranya dengan Cardi telah lama berlalu, Nicki berang dengan tindakan Miley cuba membangkitkan isu itu walaupun menerusi bait lagu.

“Apa tujuan dia membangkitkan isu itu? Antara saya dan Cardi masing-masing sudah melupakan hal lalu dan memandang ke hadapan.

“Ia adalah satu tindakan yang tidak wajar dan peminat pula seolah-olah menyebelahi Miley. Sangat mengarut,” katanya.

Bagaimanapun, setakat ini masih belum ada sebarang penjelasan daripada Miley bagi membalas kenyataan Nicki.

Perbalahan antara Nicki dan Miley pernah terjadi sebelum ini pada 2015 apabila Miley menyatakan pendiriannya menyokong Taylor Swift dan menuduh Nicki bukanlah seorang individu yang baik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini