Imej merapu tapi ada value - Utusan Malaysia

Imej merapu tapi ada value

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIHAT saja imej dan pemakaiannya, sekali pandang mungkin membuatkan ramai tertanya-tanya mengapa lelaki ini suka tampil dengan gaya pelik sebegini? Sedangkan dia bukanlah selebriti sebaliknya seorang ahli korporat.

Bukankah seorang ahli perniagaan itu sinonim dengan gaya yang biasanya berkemeja, bertali leher dan sut hitam? Tetapi Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman memilih gaya pemakaian glamor persis seorang artis.

Berkongsi mengenai perkara tersebut, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Financial Genius Group (FGG) ini berkata, dia memang sengaja mencipta penampilan sebegini kerana mahu dikenali dengan imej pelik, lain daripada yang lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dunia korporat bukan hanya dengan sut hitam, bertali leher dan kasut berkilat. Sekarang dunia sudah berubah dan kalau tidak ikut, kita mungkin akan ketinggalan.

“Dulu pemakaian saya sama seperti ahli perniagaan lain dan setiap kali berjumpa dengan prospek saya selalu ditolak.

“Jadi saya harus buat sesuatu atau melakukan perubahan supaya sikap prejudis dan skeptikal masyarakat terhadap orang bisnes seperti kami dapat dikikis,” katanya.

Sedang dia berfikir tentang identiti baharu bagaimana mahu ditonjolkan, Mahadi bertemu dengan seorang pelanggannya lalu dia tertarik dengan idealogi yang dikongsi individu itu.

“Idea mahu tampil dengan imej begini bermula selepas saya bertemu dengan pelanggan syarikat saya dan dia seorang hartawan.

“Satu yang saya belajar daripadanya adalah tentang idealogi yellow frog (katak kuning). Di atas mejanya ada banyak replika katak berwarna hijau dan ada satu saja berwarna kuning.

“Katanya, dalam hidup ini kita perlu jadi berbeza daripada orang lain. Jadi saya cuba menjadi seorang yang berbeza dengan tampil dengan imej sebegini dan tak sangka pula ramai yang suka,” tuturnya.

Rekod viral

Walaupun tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai dunia fesyen tetapi langsung tidak memberi masalah kepada Mahadi untuk mencipta gayanya sendiri.

Selain gemar memakai busana daripada jenama koleksi seperti Versace, dia turut membeli material fabrik berkualiti seperti dari Vietnam untuk menghasilkan busananya.

“Ramai juga yang menganggap imej dan gaya saya ini pelik dan merapu. Tapi saya tidak kisah dengan tanggapan negatif itu.

“Bagi saya, walaupun merapu tapi tetap ada value (nilai). Saya tidak lah pandai sangat dalam hal berfesyen tetapi apa yang saya gayakan ini mengikut citarasa sendiri,” ujarnya.

Bukan hanya menjadi sebutan dari segi imej dan fesyen dengan konsep merapu, nama Mahadi pernah memegang beberapa rekod tular gara-gara hobi ‘gilanya’.

Dia pernah melekatkan koleksi kereta mainan Hot Wheels serta beberapa campuran kereta mainan lain yang berjenama pada kereta Jaguar S-Type miliknya.

Selain itu, dia juga pernah menghias kereta Porche miliknya dengan 330,00 butir berlian.

“Saya suka buat sesuatu yang kreatif seperti menghias kereta dan ia satu kepuasan. Saya juga pernah menukar kereta Lamborgini saya dengan warna emas.

“Itu antara yang membuatkan orang ingat siapa saya walaupun mungkin mereka belum pernah berjumpa atau mengenali diri saya,” katanya yang juga terkenal dengan imej berjanggut panjang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini