Jangan ingat kerja senang! - Utusan Malaysia

Jangan ingat kerja senang!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“AWAK tak boleh senang-senang masuk dalam keluarga saya,” kata Sharifah Amani saat berkongsi mengenai citarasa dan kriteria lelaki pilihannya dalam soal jodoh.

Santai bercerita diselangi jenaka bersahaja, pelakon ini sedar saat usianya mencecah angka 33 tahun, soalan mengenai calon suami pastinya tidak pernah lekang diajukan.

“Sudah faham sangat, tapi saya okey sahaja. Tak pernah marah atau rasa ia menjengkelkan walaupun saya rasa golongan wanita tidak perlu mengejar perkahwinan semata-mata.

Memuatkan artikel berkaitan…
 

“Lebih-lebih lagi kalau wanita itu bekerjaya kerana kerjaya tidak akan meninggalkan anda untuk perempuan lain,” katanya.

Penuh dengan maksud tersendiri, Nani mengaku selama ini pun dia tidak pernah menutup pintu hati buat mana-mana lelaki yang cuba mendekati.

Cuma, sebagai seorang wanita yang tahu apa dirinya mahukan, dia punya kriteria tersendiri apabila menyebut mengenai calon suami.

“Siapa kata saya tak mahu berkahwin? Nak, tapi tak ada lagi yang sesuai. Antara ciri yang disukai ialah lelaki yang pandai berjenaka, tahu dan mencintai seni dalam apa juga aspek serta menghormati orang tua saya.

“Tetapi paling utama, dia kena benar-benar mampu ‘masuk’ dalam keluarga dan kawan-kawan saya. Dididik dan dibesarkan dengan cukup baik oleh keluarga, bagi saya itu nilai yang sangat mahal,” katanya.

Diketahui cukup rapat dengan keluarganya, Nani sedar tidak semua orang mampu memahami dan menerima caranya dan keluarga.

Pun begitu, Nani sedar apa pun segala ketentuan jodoh itu terletak di tangan Tuhan jua.

“Jujurnya, saya sendiri sudah punya kerjaya, harta, rumah dan segala-galanya. Jadi apa yang saya mahukan adalah seorang lelaki yang benar-benar menerima saya dan keluarga.

“Kalau saya jatuh cinta, saya tahu diri ini telah jatuh cinta. Bukan sebab perlukan lelaki untuk menanggung atau membelikan saya itu dan ini. Tapi saya bercinta kerana benar-benar jatuh cinta,” katanya.

Terpulang

Sementara itu, berkongsi mengenai kelantangannya bersuara terhadap sesuatu isu, Nani menyatakan tiada sebab untuk dia berselindung atau tidak menjadi diri sendiri.

Bukan mahu meraih perhatian tetapi itu lebih kepada rasa tanggungjawab sosial untuk mendidik pengguna internet agar bersikap lebih positif.

“Tiada paksaan untuk suka atau tidak suka pada pandangan saya. Masing-masing punya pilihan dan saya pula cuma menjadi diri sendiri.

“Saya gunakan platform ini untuk melahirkan pandangan dan melihat ia sebagai salah satu cara untuk berbakti pada masyarakat.

“Apa yang anda fikir tentang saya, itu bukan urusan saya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini