Dia berjaya tambat hati ibu - Utusan Malaysia

Dia berjaya tambat hati ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENGENALI pelakon kecil molek ini, sebenarnya bukan mudah pintu hati Sweet Qismina untuk terbuka buat mana-mana lelaki yang cuba mendekati.

Bahkan selama ini pun, tidak pernah kedengaran dia terpalit dengan sebarang gosip cinta sekali gus memperlihatkan Sweet bebas kontroversi murahan.

Lalu apabila dia terbuka berkongsi cerita dan memuat naik gambar bersama Adam Lee dalam media sosial, ternyata ini bukan sekadar gosip biasa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tak mudah pecah tembok

Meski kedua-dua belah keluarga merestui, bagaimanapun akui Sweet, pada awalnya memang tidak mudah buat Adam memecahkan tembok kepercayaan ibunya, Misnah Atan. Bukanlah bersikap terlalu melindungi, cuma barangkali ibunya bimbang Sweet didekati lelaki yang suka mengambil kesempatan.

“Selama ini, mana-mana kawan akan saya pastikan bertemu dengan ibu, tidak kira lelaki atau wanita. Tambahan pula, ibu adalah pengurus saya, jadi tiada sebab untuk saya sorok apa-apa daripadanya.

“Adam juga melalui proses yang sama macam teman-teman lain, cuma caranya yang tersendiri membuatkan ibu senang hati sekali gus merestui hubungan kami.

“Tak sangka juga dia boleh raih kepercayaan ibu dan keluarga sebab ibu saya tak akan sewenang-wenangnya beri lampu hijau pada mana-mana lelaki,”katanya.

Begitupun, tidak bermakna ia juga satu tiket buat mereka untuk sering keluar bersama tanpa pengawasan keluarga.

“Kalau keluar pun, atas pengetahuan dan ditemani ibu atau adik. Saya lebih suka begitu agar dapat mengelak sebarang cerita negatif daripada mulut orang di luar,” katanya.

Rasa selamat

Berkongsi mengenai kriteria istimewa Adam, pemilik nama Farhanna Qismina Supandi ini melihat lelaki berusia 25 tahun itu penuh dengan ciri lelaki penyayang dan amat mengambil berat akan dirinya.

Bahkan, ketinggian Adam juga merupakan satu tambah nilai yang membuatkan Sweet berasa selamat setiap kali keluar bersama.

“Ada banyak lagi ciri padanya yang membuatkan saya jatuh hati. Malu pula hendak diceritakan.

“Cukuplah jika dia pandai mengambil hati dan menghormati orang tua saya. Itu sudah membuatkan hati saya senang bersamanya,”katanya.

Dalam pada itu, kata pemenang Anugerah Bintang Popular kategori Artis Wanita Baharu 2016 ini, dia memilih untuk berterus-terang dengan semua pihak mengenai soal cinta kerana bimbang timbul salah faham di kemudian hari.

Sedar mungkin ada pasangan selebriti memilih untuk menyorokkan hubungan cinta, Sweet dan Adam dilihat adalah sebaliknya.

“Ada beza antara mereka menyorokkan atau berbohong dengan peminat mengenai sesuatu hubungan.

“Janganlah apabila ditanya, bermatian-matian menafikan sedangkan ia perkara benar. Sebab itu orang akan rasa tertipu. Apa pun, semua itu bagi saya adalah pilihan masing-masing,” katanya.

“Sebenarnya sehingga kini ramai yang masih tertanya-tanya sama ada betulkah saya ada hubungan istimewa dengan Adam?

“Ada juga yang anggap kebanyakan gambar yang dimuat naik semata-mata kerana drama Adam Chempaka yang dibintangi.

“Apa pun, saya dan Adam lebih suka mengambil pendekatan untuk membiarkan peminat dan warganet berpegang pada apa yang mereka percaya tanpa perlu kami jelaskan,”katanya.

Pun begitu, Sweet mengaku ada rasa cinta antaranya dan Adam dan ia bukan perasaan yang dibuat-buat.

“Kami tak pernah isytiharkan bila mula bercinta sebab tahu-tahu sahaja hubungan ini menjadi akrab. Saya ada bertanya pada Adam apa matlamatnya dalam industri.

“Ternyata kami punya persamaan terutama dari segi perancangan masa hadapan. Mungkin sebab itu daripada kawan rapat, hubungan ini bertukar lebih istimewa,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini